
Berita Harian melaporkan Eddy Khirin Bunaim, 45, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Dia didakwa menipu Sulaiman Idrus, 68, dengan mendorongnya menurunkan tandatangan pada cek Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lui Selatan 1 bagi membayar RM12,000 kepada pembekal, Mohd Syazwin Izuan Wahid.
Ia sebagai pendahuluan untuk kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2 sedangkan Syazwin Izuan bukan pembekal dilantik untuk melakukan kerja berkenaan, yang mana Sulaiman tidak akan mengambil tindakan itu jika tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Mac 2023 di sebuah bank di Jalan Besar, Bahau dan tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat serta boleh juga didenda.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahaya mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan.
Tertuduh tidak diwakili peguam memohon jaminan paling rendah kerana menanggung empat anak bersekolah dan dirinya sedang menyambung pengajian.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan atau jaminan akan dibatalkan.
Sebutan semula ditetapkan 14 Ogos ini untuk serahan dokumen.