Parti tempatan mesti dominan, diutamakan, tegas Hajiji

Parti tempatan mesti dominan, diutamakan, tegas Hajiji

Komponen GRS diguna turun padang dan jelaskan perjuangan yang menekankan 'Rumah Kita, Kita Jaga'.

Hajiji
Ketua Menteri Hajiji Noor kata rakyat Sabah mahu parti tempatan menerajui kerajaan.
PETALING JAYA:
Parti tempatan mesti dominan dalam politik Sabah, dan diutamakan dalam membentuk kerjasama menghadapi PRN17, tegas Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata kerajaan diterajui Gabungan Rakyat Sabah, yang dibentuk oleh parti tempatan, mesti dipertahan dan diteruskan.

“Bagi saya pilihan raya kali ini amat penting sekali, jangan kita tersalah pilih. Parti tempatan mesti dominan dalam politik Sabah, mesti diutamakan,” katanya dalam ucapan di kongres Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu di Kota Belud.

Menurut Hajiji, perkara ini selari dengan sentimen rakyat yang mahu parti tempatan menerajui kerajaan.

“Soal kerjasama itu bab lain, tapi GRS sebagai parti tempatan, amat penting kita pertahankan,” katanya.

Hajiji menggesa Usno dan komponen GRS lain untuk turun padang dan menjelaskan kepada rakyat mengenai perjuangan gabungan itu, yang menekankan falsafah ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ dan ‘Sabah First’.

“Ini matlamat perjuangan kita dalam GRS, kalau kita cakap ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ fahamlah, takkan perlu kita hurai satu persatu, senang saja,” katanya.

Semalam, media melaporkan Pakatan Harapan Sabah dijangka akan memulakan suatu rundingan rasmi dengan GRS dalam masa terdekat.

Sebelum itu, Timbalan Setiausaha GRS Armizan Mohd Ali berkata gabungannya secara prinsip terbuka meneruskan kerjasama dengan parti teras membentuk kerajaan negeri ketika ini, iaitu bersama PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.