
Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia berkata, rokok haram juga ancaman terhadap kesihatan awam dan perlu ditangani secara serius.
“Kami menggesa penguatkuasaan terhadap rokok haram turut diperkukuh melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa berwajib berkaitan,” kata Presiden Dr Jamalludin Ab Rahman kepada FMT.
Dalam pada itu, Jamalludin berkata pihaknya menyokong penuh negeri yang berani melaksanakan dasar kawalan lebih ketat terhadap produk merokok termasuk vape, menyeru keberanian itu dicontohi.
Sementara itu, pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, juga menyeru kerajaan perhebat operasi membanteras rokok haram di seluruh negara.
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang melanggar dasar kerajaan berhubung rokok haram dan vape.
“Harap pihak berkuasa memberi tumpuan serius terhadap isu ini dan melaksanakan dasar-dasar tersebut tanpa kompromi.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk memastikan keberkesanannya,” katanya.
Kelmarin, Pahang menyertai langkah Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu dalam melarang penjualan vape.
Inisiatif itu menyusuli saranan polis supaya kerajaan negeri mengenakan larangan tertentu berhubung penjualan rokok elektronik sementara menunggu kerajaan persekutuan menggubal undang-undang baharu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kes penyalahgunaan dadah sintetik menggunakan rokok elektronik semakin membimbangkan kerana turut membabitkan pelajar sekolah.