Kutipan hasil cukai peranti, cecair, dan gel rokok elektronik capai RM288.45 juta

Kutipan hasil cukai peranti, cecair, dan gel rokok elektronik capai RM288.45 juta

Jumlah kutipan hasil bagi rokok pula capai RM15.02 bilion, dalam tempoh sama iaitu dari 2021 hingga Julai 2025.

vape
Kenaan duti eksais bagi cecair dan gel tanpa nikotin dan bernikotin adalah pada kadar 40 sen per mililiter.
PETALING JAYA:
Jumlah kutipan hasil cukai ke atas peranti, cecair, atau gel bernikotin dan tidak bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape mencapai RM288.45 juta, bagi tempoh dari tahun 2021 hingga Julai 2025.

Dalam tempoh sama, jumlah kutipan bagi rokok pula mencapai RM15.02 bilion.

“Secara keseluruhan, jumlah kutipan hasil duti/cukai bagi kedua-dua jenis produk tersebut adalah sebanyak RM15.30 bilion bagi tempoh dari 2021 sehingga Julai 2025,” menurut Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.

Kementerian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, tentang jumlah kutipan cukai vape setiap tahun, sejak ia diperkenalkan, berbanding jumlah kutipan cukai rokok.

Kementerian menerangkan rokok, produk tembakau serta cecair atau gel bernikotin dan tidak bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape tertakluk kepada kenaan duti eksais, selain cukai jualan dan duti import sekiranya diimport.

Dalam huraiannya, mulai 1 Jan 2021, duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter dikenakan ke atas cecair atau gel tidak bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik; dan ad valorem 10% ke atas semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik.

Mulai 1 Mei 2023, skop pengenaan duti eksais diperluas kepada cecair dan gel bernikotin yang digunakan dalam rokok elektronik termasuk vape.

“Kenaan duti eksais bagi cecair dan gel tanpa nikotin dan bernikotin adalah pada kadar 40 sen per mililiter,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.