
Suapan itu sebagai dorongan membantu, menyemak dan memasukkan permohonan pembiayaan peribadi milik pelanggan ke dalam ‘financing origination system’ (FOS) sebelum proses kelulusan bayaran.
Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari hingga 15 Jun selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sumber berkata, suspek terdiri dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan kira-kira 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara 2022 dan 2023 di mana kedua-dua pengarah syarikat terbabit bersubahat bersama penasihat jualan runcit untuk memperoleh suapan berjumlah kira-kira RM26,000.
“Semua suspek disyaki menerima suapan secara transaksi pindahan ke akaun bank milik penasihat jualan runcit terbabit dari akaun syarikat salah seorang pengarah syarikat terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan semua suspek dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.