KPKT nafi MyKiosk projek ‘gajah putih’

KPKT nafi MyKiosk projek ‘gajah putih’

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata projek itu merekodkan kadar pengisian tinggi serta kesan positif terhadap pendapatan penjaja kecil.

Voxpop for MyKiosk at KFC Taman Alam Megah
SPRM mengemukakan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada KPKT dalam pengurusan inisiatif MyKiosk.
PETALING JAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan inisiatif MyKiosk sebagai projek ‘gajah putih’ seperti dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Kementerian itu berkata projek berkenaan merekodkan kadar pengisian yang tinggi serta memberi kesan positif terhadap pendapatan penjaja kecil di seluruh negara.

“Sehingga Julai 2025, semakan KPKT dengan semua PBT terlibat mendapati kadar pengisian MyKiosk 1.0 telah mencapai 91.75%, manakala MyKiosk 2.0 pula mencapai 86.78%.

“Inisiatif ini juga telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara dengan rekod kejayaan peniaga yang meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan.

“KPKT komited memastikan setiap sen dana awam dibelanjakan secara berintegriti dan memberi impak optimum kepada ekonomi rakyat selaras,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Bernama melaporkan SPRM berkata projek MyKiosk adala satu daripada projek gajah putih dan tidak mencapai objektif kerajaan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat daripada penempatan MyKiosk yang tidak sesuai.

SPRM menjelaskan antara isu utama ialah ketiadaan kajian keperluan dan mekanisme pemantauan keberhasilan komprehensif, termasuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menjejaskan penilaian impak projek di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Agensi antirasuah itu turut mengemukakan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada KPKT, merangkumi pelaksanaan kajian keperluan menyeluruh termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi.

Meningkatkan keberhasilan projek MyKiosk Madani dalam KPI serta menubuhkan unit pemantauan atau jawatankuasa khas bagi menilai keberkesanan dan pencapaian projek.

Dua cadangan lain termasuk penambahbaikan Garis Panduan Inisiatif MyKiosk MADANI dan mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan yang lengkap sebagai rujukan operasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.