
Dalam temu bual bersama media, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa laporan diterbitkan agensi berita antarabangsa itu berniat jahat.
Beliau menegaskan tidak melakukan sebarang kesalahan dan ketika ini tidak memiliki saham di pasaran.
“Kami sudah beri maklum balas (kepada Bloomberg) pada 14 Jan, tapi kenapa tak sebut dalam artikel mereka?
“Kami akan hantar surat tuntutan esok kerana mencemarkan (reputasi SPRM),” kata Azam.
Bloomberg melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7% dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Perkara itu didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam hanya boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.
Semalam, Azam berkata saham itu dibeli dan dilupuskan pada tahun sama serta diisytiharkan secara telus.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, pula berkata di Dewan Rakyat kuasa untuk membenarkan penjawat awam membuat pelaburan saham melebihi RM100,000 terletak pada ketua setiausaha negara.
Laporan Bloomberg mencetuskan desakan supaya Azam diberi cuti atau kontraknya ditamatkan.
Pada hujung 2021, Azam menjadi tumpuan susulan dakwaan pemilikan saham sehingga timbul desakan supaya beliau meletak jawatan.
Ketika itu, SPRM menjelaskan perdagangan tersebut dilakukan abangnya menggunakan akaun Azam.
Suruhanjaya Sekuriti kemudian menyatakan tiada bukti menunjukkan pelanggaran undang-undang.