
Pengarah Maritim Selangor, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata bot itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik pada jarak kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan.
Katanya, enam warga tempatan berusia tiga hingga 50 tahun terbabit dalam kejadian 4.30 petang itu.
Beliau berkata, seorang mangsa diselamatkan nelayan, manakala dua mangsa masih hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, yang berasal dari Klang Utama.
Menurutnya, anak pasangan itu, Darren Gan, 3, ditemui di ruang depan bot bersama Cheu Son Hin, 50, tetapi kedua-duanya disahkan meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa lelaki dalam bot itu yang ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian adalah rakan mereka, Fong Yong Sen, 29. Mangsa selamat dikenali Chang Yan Qin Alvin, 17,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Selangor meneruskan operasi mencari suami isteri masih hilang itu 7 pagi ini selepas ditangguhkan 8 malam tadi.
Menurutnya, bot terbalik itu ditunda bot penumpang lain ke jeti terapung Ibu Pejabat Maritim Selangor.