Lesen pemandu bot terbalik digantung hingga siasatan selesai

Lesen pemandu bot terbalik digantung hingga siasatan selesai

Lesen bot penumpang itu juga dibatalkan kerana kerosakan teruk.

mangsa bot terbalik pulau perhentian
Sebuah bot terbalik akibat dilanda ombak besar di Pulau Perhentian pada Sabtu lepas, meragut tiga nyawa termasuk kanak-kanak berusia 3 tahun. (Gambar JBPM)
KUALA TERENGGANU:
Lesen jurumudi bot penumpang yang terbalik meragut tiga nyawa di Pulau Perhentian, Sabtu lepas digantung sehingga siasatan pihak berkuasa, termasuk berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah, selesai.

Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur Mohamad Halizam Samsuri berkata, lesen bot penumpang itu juga dibatalkan kerana mengalami kerosakan teruk.

Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian mengikut Seksyen 334 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, tambahnya.

“Jika didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan lebih tegas akan diambil, termasuk pembatalan lesen secara kekal,” katanya ketika ditemui di Pejabat JLM Terengganu.

Beliau berkata, walaupun lesen bot itu sah hingga Mac 2026, namun didapati terdapat beberapa pelanggaran undang-undang yang jelas, seperti beroperasi pada waktu malam dan membawa lebih penumpang.

“Bot jenis kecil dengan panjang 7.9m hanya dibenarkan membawa dua kru dan maksimum 10 penumpang,” katanya.

“Daripada kenyataan polis, kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan dan jurumudi sepatutnya bertegas memastikan semua penumpang mematuhi peraturan demi keselamatan.”

Sementara itu Mohamad Halizam berkata, pemandu bot dan penumpang diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan mengikut syarat lesen.

Katanya, pihaknya memeriksa bot penumpang secara berkala dalam operasi bersepadu, melibatkan agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Semua pemandu bot perlu menjalani ujian ketat sebelum diberi lesen. Begitu juga bot yang dilesenkan, perlu diperiksa dan mempunyai peralatan keselamatan yang cukup untuk penumpang,” katanya.

Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, S Arumugam, 40, dan anaknya A Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V Vennpani, 10, maut.

Dua mangsa lain cedera termasuk seorang kritikal, selain 10 lagi terselamat.

Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.

Seorang pemandu bot yang terbabit direman tiga hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan didapati positif dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.