Pemandu bot terbalik di Pulau Perhentian positif dadah

Pemandu bot terbalik di Pulau Perhentian positif dadah

Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad @ Abu berkata lelaki berusia 20-an ditahan reman untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad @ Abu berkata siasatan awal mendapati semua penumpang bot tidak memakai jaket keselamatan. (Gambar APMM)
PETALING JAYA:
Pemandu bot terbalik yang mengorbankan tiga nyawa di Pulau Perhentian malam tadi didapati positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan bahan terlarang itu.

Ketua Polis Besut, Azamuddin Ahmad @ Abu, berkata lelaki berusia 20-an yang juga penduduk tempatan ditahan reman untuk membantu siasatan, lapor Bernama.

Azamuddin berkata, tiga mangsa yang maut dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai S Arumugam, 40, dan anaknya A Sarrvihka, 3, dan saudara mereka V Vennpani, 10.

Katanya, 12 lagi termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang kritikal dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

“Kejadian berlaku ketika ribut, hujan lebat dan laut bergelora menyebabkan bot membawa 15 penumpang berusia tiga hingga 40 tahun itu terbalik dan karam,” katanya dalam sidang media di IPD Besut.

Azamuddin berkata, siasatan awal mendapati semua penumpang bot tidak memakai jaket keselamatan.

“Justeru, polis ingin menasihati orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ahli keluarga semasa di pantai peranginan.

“Polis juga menasihati pengusaha bot supaya mengutamakan keselamatan pelancong dan mematuhi segala peraturan ditetapkan terutama pemakaian jaket keselamatan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga maut selepas bot membawa 16 penumpang termasuk pemandu terbalik di hadapan sebuah resort di pulau itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.