Pemandu bot karam mengaku salah ambil dadah

Pemandu bot karam mengaku salah ambil dadah

Tertuduh didakwa memasukkan nimetazepam dalam badannya.

Azrie Yazid
Tertuduh, Azrie Yazid, 22, dibebaskan dengan ikat jamin RM2,500 dengan sebutan semula kes pada 4 Sept ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemandu bot dalam insiden bot terbalik yang meragut nyawa tiga pelancong di Pulau Perhentian pada Sabtu lalu mengaku salah di Mahkamah Majistret Besut kerana salah guna dadah.

Azrie Yazid, 22, membuat pengakuan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis nimetazepam dalam badannya, lapor Kosmo.

Tertuduh didakwa berbuat demikian di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Besut pada 10.05 pagi, 29 Jun.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1957, memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Azrie dibebaskan dengan jaminan RM2,500 dan seorang penjamin.

Sebutan semula kes bagi menerima laporan patologi ditetapkan pada 4 Sept ini.

Dalam kejadian bot terbalik Sabtu lalu, tiga maut melibatkan seorang dewasa dan dua kanak-kanak selepas bot dinaiki 15 penumpang terbalik dan karam.

Berita Harian melaporkan, bot itu bergerak dalam cuaca ribut sekitar 10 malam, 28 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.