Jangan cepat melatah, pemimpin PKR beritahu Umno Kedah

Jangan cepat melatah, pemimpin PKR beritahu Umno Kedah

PKR Kedah berkata isu Tengku Zafrul Aziz sebaiknya diserahkan kepada pucuk pimpinan pusat untuk diselesaikan secara harmoni.

Tindakan Tengku Zafrul Aziz keluar Umno mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin Pakatan Harapan Kedah menasihatkan Umno negeri tidak cepat melatah sehingga mendesak pimpinan Barisan Nasional pertimbang semula kerjasama dengan gabungan itu jika PKR menerima Tengku Zafrul Aziz sebagai ahli.

Timbalan Pengerusi PH Kedah, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah, berkata isu itu sebaiknya diserahkan kepada pucuk pimpinan pusat untuk diselesaikan secara harmoni.

Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah.

“Lebih baik serah kepada pimpinan pusat dan kita pimpinan di negeri kekal dengan semangat perpaduan,” kata ketua PKR Kedah kepada FMT.

Azrina yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, pemimpin PH dan BN Kedah sepatutnya kekal fokus bekerjasama dengan baik bagi menghadapi PRU sebagaimana persetujuan menerusi resolusi konvensyen perpaduan peringkat negeri 15 Feb lalu untuk menawan semula tampuk pemerintahan negeri.

Katanya, majlis pimpinan perpaduan di Kedah antara gabungan negeri yang terbaik kerana persefahaman dan kerjasama dibentuk.

“Kita (PKR) memang mendengar semua pandangan rakan dalam (kerajaan) perpaduan serta keresahan dibangkitkan pemimpin Umno Kedah berhubung isu (Tengku Zafrul),” katanya.

Jumaat lalu, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MKT Umno dan ketua bahagian Kota Raja, serta keluar parti bagi menyertai PKR.

Tindakan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin Umno termasuk ada yang menuduh PKR cuba ‘mencuri’ ahlinya serta ‘menikam parti itu dari belakang’.

Antaranya Pengarah Komunikasi Umno Kedah Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri yang menggesa pucuk pimpinan BN mengkaji semula hubungan kerjasama politik dengan PH pada PRU akan datang jika PKR menerima Tengku Zafrul.

Manakala Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin menganggap keputusan Tengku Zafrul ‘drama’ dan ‘langkah politik PKR’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.