Subsidi bersasar: Pengusaha stesen gesa libat urus bincang mekanisme

Subsidi bersasar: Pengusaha stesen gesa libat urus bincang mekanisme

Pertubuhan pengusaha stesen minyak mendakwa setakat ini belum ada perbincangan rasmi dilakukan antara kerajaan dan pihaknya.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Hanny Julia Haron berkata mereka mahu lihat lebih banyak libat urus dilakukan supaya subsidi mencapai objektif termasuk mengelakkan ketirisan.
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan pengusaha stesen minyak menggesa kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri bagi melancarkan pelaksanaaan subsidi bersasar RON95, dijangka separuh kedua tahun ini.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera, Hanny Julia Haron, mendakwa setakat ini belum ada sesi perbincangan rasmi terutama berkait sistem bakal digunakan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan.

Mendakwa persatuan itu mewakili 70% pengusaha stesen minyak, Hanny berkata pihaknya mahu lebih banyak sesi libat urus diadakan supaya subsidi bersasar bahan bakar berkenaan mencapai objektifnya termasuk mengelakkan ketirisan.

Menurutnya, ketirisan dan penyelewengan tidak banyak berlaku di stesen minyak memandangkan kebanyakan pengusaha telah melaksanakan sistem keselamatan pembayaran dan pemantauan transaksi lebih canggih.

“Namun segala usaha di peringkat pelaksana tidak akan memberi kesan sekiranya tidak disokong dasar yang menyeluruh dan pelaksanaan adil dan telus.

“Sesi libat urus inklusif bersama pihak industri di lapangan perlu diadakan,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 menekankan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

Pada Jun 2024, kerajaan melaksanakan subsidi bersasar diesel di Semenanjung Malaysia yang menurut Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan menyasarkan penjimatan RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun, hampir dua kali ganda daripada unjuran awal RM4 bilion.

Hanny turut meminta kerajaan menyemak semula keberkesanan pelaksanaan subsidi diesel yang telah hampir setahun untuk melihat kesan lain dalam rantaian nilai termasuk kepada pengusaha stesen, logistik dan peniaga kecil.

“Dasar dilaksanakan perlu benar-benar mencapai objektif fiskal dan sosial tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan rakyat tempatan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemain industri Rahim Kamil Sulaiman pula meminta kerajaan melihat masalah komisen yang masih kekal tidak berubah bagi penjualan petrol RON95 dan RON97.

“Peningkatan ini hanya beri sedikit kelegaan kepada stesen mencatat jualan melebihi 1 juta liter sebulan, manakala 75% stesen menjual kurang daripadanya terpaksa menanggung kerugian.

“Kemerosotan margin kasar itu berpunca terutamanya daripada caj MDR (kadar diskaun pedagang) dikenakan penyedia kad kredit dan e-dompet,” katanya yang menyifatkannya di luar kawalan pengusaha.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.