
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia mencadangkan perkara itu memandangkan kemungkinan tambahan tugas perlu dihadapi mereka, selain keperluan penyediaan sistem.
Presidennya Abd Aziz Sapian berkata mengurus semakan subsidi pengguna secara langsung di premis disifatkan suatu beban besar dan tidak pernah menjadi tanggungjawab mereka.
“Perlu diingatkan bahawa pengusaha stesen pada hakikatnya adalah ejen kerajaan yang kini mengurus subsidi diesel dan akan ditambah tugas mengurus subsidi petrol,” katanya kepada FMT.
Kerajaan dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan pengusaha stesen minyak menaik taraf sistem mereka bagi skim rasionalisasi subsidi RON95 agar tiada barisan panjang di pam minyak kelak.
Kelmarin, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata objektifnya adalah memastikan proses mengenal pasti kelayakan subsidi setiap pelanggan melalui MyKad adalah selancar proses mengisi minyak seperti sekarang.
Beliau juga yakin kerajaan akan dapat membangunkan suatu sistem untuk menentukan kelayakan subsidi RON95 yang boleh diguna pakai di semua stesen minyak sebelum akhir tahun ini.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.
Aziz juga berharap kerajaan dapat membantu dan tidak memindahkan kos pendigitalan kepada pengusaha stesen minyak dalam melaksanakan subsidi bersasar bahan bakar berkenaan
Beliau juga menyeru subsidi bersasar dilakukan secara berfasa dengan ujian rintis dan pelaporan telus.
“Pelaksanaan subsidi bersasar ini juga mesti selari dengan pindaan atau pelarasan kepada akta berkaitan contohnya Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan agar tidak wujud ketidakadilan atau percanggahan dalam pelaksanaan,” katanya.