Kerajaan dalam fasa akhir perhalus kriteria layak subsidi RON95

Kerajaan dalam fasa akhir perhalus kriteria layak subsidi RON95

MoF kata kelayakan subsidi tidak semestinya terhad kepada 85% daripada rakyat.

petrol minyak
Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan untuk subsidi bersasar RON95 dan kaedah pelaksanaan penyasaran.
PETALING JAYA:
Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan untuk subsidi bersasar RON95, dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September.

Kementerian Kewangan (MoF) menyenaraikan beberapa langkah bagi penetapan kriteria kelayakan subsidi ini, seperti meneliti penggunaan kriteria yang digunakan bagi diesel, memperhalusi kriteria kelayakan dengan pihak berkepentingan, dan menggunakan Pangkalan Data Utama sebagai rujukan.

Katanya, pendekatan lebih terangkum wajar diambil dalam menentukan golongan yang layak untuk subsidi ini, memandangkan penggunaan RON95 oleh rakyat biasa jauh lebih meluas berbanding diesel.

“Kelayakan subsidi tidak semestinya terhad kepada 85% daripada rakyat. Malah, perdana menteri menjelaskan kerajaan akan mengkaji opsyen sekurang-kurangnya 90% atau lebih tidak terkesan semasa pelaksanaan penyasaran subsidi RON95,” katanya, menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Wee Ka Siong.

Wakil rakyat Ayer Hitam bertanyakan tentang indikator dan asas penentuan yang akan digunakan kerajaan untuk menyenaraikan individu atau isi rumah dalam kategori dikenali sebagai T15, yang dikatakan tidak layak menerima subsidi.

Di samping soal kriteria kelayakan, kerajaan turut memperhalusi kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi ini dengan pihak berkepentingan, meliputi pengujian penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak.

Menerangkan mekanisme MyKad, MoF berkata terminal pembaca kad yang disediakan oleh kerajaan akan berhubung dengan pangkalan data berpusat kerajaan bagi menentukan kelayakan dan kuota.

“Sekiranya layak rakyat dapat membeli minyak RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 per liter, sekiranya tidak pembayaran dibuat mengikut harga di pam, tanpa bersubsidi,” katanya, dan menambah kaedah ini sedang digunakan untuk menyalurkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

“Pengalaman pelaksanaan Sara ini jelas membuktikan bahawa penggunaan MyKad merupakan kaedah yang berkesan dan diyakini rakyat dalam menentukan kelayakan subsidi,” katanya.

Pilihan lain dikaji termasuk membeli minyak bersubsidi dari pam tanpa ke kaunter pembayaran, serta penggunaan aplikasi syarikat minyak.

“Kerajaan sedang meneliti pendekatan terbaik dalam menentukan golongan yang wajar dikenakan harga di pam termasuk berdasarkan pendapatan tinggi atau pemilikan kereta mewah,” katanya.

Dalam pada itu, MoF memaklumkan konsep penyasaran dua harga berasaskan kelayakan, yang dilaksanakan sejak Jun 2024 bagi diesel, menunjukkan bekalan kekal stabil, operasi stesen berjalan lancar, dan penguatkuasaan dipertingkat untuk mengekang ketirisan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.