Reformasi bersejarah Akta Orang Asli

Reformasi bersejarah Akta Orang Asli

Kesediaan kerajaan meminda Akta Orang Asli 1954 perlu mencerminkan suara akar umbi ramai.

orang asli

Malaysia kini berada di ambang reformasi perundangan dan perlembagaan bersejarah yang memberi kesan langsung kepada komuniti Orang Asli. Usaha sedang dijalankan untuk meminda Akta Orang Asli 1954, undang-undang utama yang mentadbir hak Orang Asli yang telah kekal hampir tidak berubah sejak sebelum kemerdekaan.

Ada juga rancangan untuk memperkukuh pengiktirafan hak Orang Asli dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedua-dua perubahan ini berpotensi memberikan hak yang lebih terjamin bagi Orang Asli dari segi hakmilik tanah, pendidikan, dan penyertaan dalam proses membuat keputusan dasar, menandakan titik perubahan dalam hubungan negara dengan masyarakat pribuminya.

Perubahan ini mencerminkan peningkatan kemahuan politik dan dibentuk melalui proses libat urus yang semakin meluas. Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor berkongsi mengenai sesi libat urus bersama Tok Batin berhubung pindaan perlembagaan berkaitan pemilikan tanah komuniti.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi pula berunding dengan menteri pembangunan Māori New Zealand, manakala Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) menjanjikan pendidikan yang lebih inklusif untuk anak-anak Orang Asli.

Selain itu, libat urus telah dijalankan melalui Majlis Perundingan Orang Asli (MAPOA) yang menghimpunkan golongan profesional, pegawai kerajaan, dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan isu komuniti dan pembangunan.

Namun, apa yang ketara tiada dalam perbincangan reformasi ini adalah sebahagian besar anggota komuniti Orang Asli yang akan terkesan secara langsung dengan perubahan ini. Perwakilan suara yang tidak mencukupi dikhuatiri membawa kepada impak yang kurang memberangsangkan.

IDEAS

Budaya pengecualian suara akar umbi Orang Asli dan tumpuan kepada segelintir anggota komuniti daripada latar belakang profesional semata-mata mesti dihentikan. Suara profesional semakin didapati tidak mewakili kepentingan masyarakat Orang Asli secara menyeluruh.

Badan akar umbi yang dipimpin Orang Asli seperti Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) menyuarakan bahawa kebanyakan komuniti Orang Asli hanya mengetahui perkembangan pindaan Akta melalui laporan media.

Sebelum ini, gesaan untuk libat urus komuniti yang lebih bermakna juga pernah dikemukakan oleh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn, serta oleh Center for Orang Asli Concerns (COAC).

Sesi libat urus yang dikendalikan suara elit berpengaruh melalui saluran yang tidak dapat diakses oleh masyarakat kebanyakan berisiko meluaskan lagi jurang sosioekonomi dalam komuniti Orang Asli, kerana suara mereka yang mampu hadir sahaja yang didengari.

Lapisan masyarakat Orang Asli yang akan paling terkesan dan sepatutnya mempunyai hak untuk bersuara dalam pindaan Akta malangnya kurang diwakili, seperti suri rumah, kanak-kanak yang menghadapi kesukaran belajar, atau pencari nafkah utama yang tidak mampu mengambil cuti untuk menghadiri sesi libat urus dasar awam.

Libat urus dan penyertaan inklusif mesti menjadi norma dalam membentuk dasar dan undang-undang yang memberi kesan kepada Orang Asli. Kaedah penyertaan inklusif adalah amalan terbaik di peringkat global untuk memajukan kepentingan komuniti Orang Asli, dengan melibatkan mereka sebagai peneraju yang membentuk dasar secara bersama, bukan sekadar penerima pasif.

Kaedah ini juga penting untuk menegakkan prinsip izin, maklum awal, bebas dan telus (Free Prior Informed Consent) seperti termaktub dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Masyarakat Orang Asal (UNDRIP), yang menuntut penggubal dasar memastikan segala maklumat berkaitan dasar disampaikan dalam bahasa yang jelas dan mudah difahami.

Komuniti Orang Asli berhak menerima atau menolak cadangan pada bila-bila masa, mereka diberi masa yang mencukupi untuk membuat keputusan, dan yang paling penting, persetujuan diberikan secara bebas tanpa paksaan atau manipulasi.

Sebagai contoh, laporan Voices from the Ground terbitan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendokumentasikan amalan libat urus yang inklusif dan memperkasa komuniti. Komuniti Orang Asli Temiar di Gua Musang telah disokong untuk membentuk dan mengambil bahagian dalam pendidikan anak-anak mereka.

Projek ini memajukan aspirasi pendidikan inklusif untuk kanak-kanak Orang Asli dengan menggunakan kaedah penyertaan inklusif seperti photovoice dan sharing circles bagi mengenal pasti keperluan komuniti, serta mengutamakan suara ibu bapa sebagai rakan kongsi yang bertanggungjawab pada setiap peringkat projek. Pilihan lokasi di dewan komuniti juga memudahkan akses, untuk mengambil kira beban dari segi kewangan dan perjalanan yang boleh dikurangkan.

Keperluan Orang Asli hanya dapat difahami melalui hubungan yang lebih mendalam dan berteraskan kepercayaan sesama ahli komuniti. Sebagai contoh, dalam bidang pendidikan, tidak wajar sesetengah ahli akademik mahupun pihak berkuasa terus menyuarakan naratif berasaskan kekurangan dengan menyalahkan ibu bapa kononnya tidak berminat terhadap pendidikan anak-anak mereka.

Dalam laporan Lessons from the Ground oleh IDEAS, ibu bapa menyatakan penghargaan kerana diberi peluang terlibat dalam proses perancangan inisiatif pendidikan, yang membawa kepada penyertaan dan kejayaan anak-anak seperti yang ditakrifkan oleh komuniti mereka sendiri.

Begitu juga, apabila pelbagai pihak mempunyai pandangan yang berbeza tentang hala tuju terbaik bagi pindaan dasar, titik persamaan perlu diutamakan iaitu tanggungjawab bersama untuk menegakkan hak Orang Asli. Melalui keutamaan terhadap matlamat bersama ini, setiap pihak boleh menyalurkan kepakaran dan pengalaman mereka ke arah proses kolaboratif yang memperkukuh, bukan memecah-belahkan, usaha untuk berkhidmat kepada masyarakat Orang Asli.

Masih ada masa untuk melibatkan suara akar umbi secara bermakna dalam merangka pindaan Akta Orang Asli 1954. Jika dilakukan dengan betul, Akta ini boleh menjadi asas kukuh kepada dasar yang lebih inklusif dalam semua aspek kehidupan, daripada sosioekonomi hingga pendidikan.

Akhir kata, perlu diingati pindaan ini seharusnya berfungsi untuk berkhidmat bukan hanya kepada segelintir, tetapi kepada majoriti yang menanggung kesannya setiap hari, dan menjadi jaminan bahawa hak Orang Asli dilindungi oleh undang-undang.

 

Durrah Sharifah Ahmad Azlan

Durrah Sharifah Ahmad Azlan ialah eksekutif penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT serta IDEAS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.