Hanya dengan satu panggilan telefon, boleh ganti MyKad

Hanya dengan satu panggilan telefon, boleh ganti MyKad

Kecekapan sistem perkhidmatan awam mudahkan orang ramai termasuk dalam urusan dokumen pengenalan diri.

mykad ic

Sekitar pertengahan bulan ini, penulis berkunjung ke sebuah cawangan bank di Shah Alam untuk menggantikan kad debit yang telah tamat tarikh luput.

Namun berlaku sedikit masalah apabila cip pada MyKad tidak dapat dibaca untuk membuat pengesahan cap jari. Selepas beberapa kali percubaan, kakitangan bank terbabit memberitahu proses berkenaan tidak dapat diteruskan.

Beliau menasihatkan supaya MyKad digantikan sebelum mahu memohon kad debit. Ketika itu jam menunjukkan 20 minit sebelum 3 petang dan jujurnya saya tidak yakin dokumen pengenalan itu boleh disiapkan sebelum operasi bank ditutup.

Penulis ‘mencuba nasib’ ke cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terletak di UTC Selangor. Setibanya di sana kira-kira 2.50 petang, saya terus beratur untuk mendapatkan nombor giliran dan hampa apabila diberitahu kuota hari itu telah dipenuhi.

Namun kakitangan JPN itu memberitahu saya supaya mencuba memohon penggantian MyKad itu melalui telefon. Beliau menunjukkan notis pemberitahuan yang menerangkan kaedah permohonan di bawah inisiatif ‘MYPHONE-IN’.

Saya terus mendail nombor 03-8880 8066 yang kemudiannya disambut petugas JPN. Selepas memberitahu hasrat untuk menggantikan MyKad, kakitangan itu memulakan proses dengan menerangkan terma dan syarat.

Usai memberi penjelasan, kakitangan itu memulakan proses ‘temuduga’ yang dibuat untuk memastikan identiti penulis. Antara soalan ditanya adalah alamat, latar belakang peribadi dan keluarga.

Persoalan juga membabitkan ciri-ciri ada pada MyKad pemohon. Proses itu tamat dalam masa kurang lima minit dan petugas terbabit turut memberitahu JPN yang mempunyai cetakan segera MyKad yang termasuk di UTC Selangor.

Beliau kemudiannya memberitahu supaya mengambilnya di cawangan JPN terbabit pada sekitar 3.30 petang. Dipendekkan cerita, saya mendapat MyKad baharu itu dan dikenakan bayaran hanya RM10.

Saya terus bergegas ke bank dan akhirnya dapat memohon kad debit baharu. Semuanya selesai dalam masa hampir satu jam.

Kecekapan perkhidmatan awam

Kisah itu menggambarkan bagaimana kecekapan sistem perkhidmatan awam dapat mempermudahkan kehidupan rakyat. Lebih-lebih lagi urusan penting berkait dokumen pengenalan diri.

Jika dahulu proses memohon penggantian MyKad mungkin mengambil masa termasuk menunggu nombor giliran di kaunter, kini prosesnya hanya dengan satu panggilan atau di hujung jari menerusi platform dalam talian.

Prosedur ini membantu rakyat termasuk dalam konteks terkini apabila kerajaan menyatakan akan menggunakan MyKad untuk melaksanakan subsidi bersasar RON95.

Langkah itu meneruskan kesinambungan penggunaan MyKad untuk menyalurkan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahman (SARA) yang jumlah penerimanya kini 5.4 juta penerima bermula 1 April, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sebelumnya.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata subsidi bersasar melalui MyKad lebih ‘berkesan dan inklusif’ kerana semua rakyat Malaysia memegang kad pengenalan itu.

“Kementerian Kewangan dalam proses mewujudkan sistem di mana kita dapat gunakan MyKad menguruskan rasionalisasi subsidi,” katanya kelmarin.

JPN juga secara aktif menguarkan-uarkan nasihat supaya masyarakat mengemas kini maklumat pada MyKad.

Manfaat peluang

Agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu turut aktif menghebahkan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dan promosi menerusi platform dalam talian bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengemas kini maklumat atau memperbaharui kad pengenalan.

Program Mekar yang menawarkan perkhidmatan gantian kad pengenalan di lapangan mencatat peningkatan 84.1% iaitu 59,009 permohonan berjaya diproses tahun lalu berbanding 29,340 pada 2023.

Mekar diperkenalkan kerajaan pada 2023 untuk menangani isu keciciran pemilikan dokumen pengenalan diri dan ia memudahkan urusan pendaftaran kepada golongan tiada keupayaan untuk hadir ke pejabat JPN.

Segala maklumat berkait MyKad boleh diperoleh menerusi pautan ini.

Insentif disediakan kerajaan ini sepatutnya dimanfaatkan semua masyarakat supaya proses penyaluran bantuan terus sampai ke golongan sasar layak seperti subsidi bersasar bahan bakar kenderaan.

Oleh itu, segera kemas kini maklumat pada MyKad dan mohon penggantian jika perlu. Jangan apabila tiba masanya, terlepas bantuan yang sepatutnya menjadi hak anda.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.