PM umum baucar buku untuk guru

PM umum baucar buku untuk guru

Inisiatif itu lanjutan usaha kerajaan membudayakan amalan membaca khususnya pelajar sekolah dan universiti.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim lihat ada keperluan mewujudkan garis panduan pemberian baucar buku bagi elak tuntutan kepada naskhah tidak berkualiti.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan peluasan baucar buku kepada lebih 400,000 guru.

Anwar berkata, ia merupakan lanjutan usaha kerajaan membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat khususnya pelajar sekolah dan universiti.

“Tahun ini kita bagi baucar kepada semua guru-guru. Tahun depan kita tengok dulu sebab kita sedang bertarung dengan tarif (Presiden Amerika Syarikat Donald) Trump,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di WTC.

Jelasnya, terdapat keperluan mewujudkan garis panduan jelas mengenai pemberian baucar buku bagi mengelakkan tuntutan kepada naskhah tidak berkualiti.

“Harus ada garis panduan. Buku yang diberi, tidak semua buku berkualiti dan menggalakkan ilmu,” katanya turut mengumumkan pemberian baucar buku kepada pelajar universiti masih diteruskan dengan sedikit pengubahsuaian.

Sementara itu, Anwar menyuarakan kebimbangan kebimbangan terhadap tahap budaya membaca dalam kalangan rakyat yang menurutnya belum benar-benar kukuh.

Katanya, walaupun kehadiran keluarga bersama anak-anak di pesta buku memberi isyarat positif, minat terhadap ilmu masih belum menjadi budaya menyeluruh di negara ini.

“Membaca ini belum menjadi budaya di negara kita. Saya (lihat) ini agak melelahkan, bila kita sebut negara Madani ini, negara yang berpaksikan keyakinan dan mencintai ilmu…

“Dunia ini mencabar, dunia ini memerlukan manusia yang mendalam ilmu mereka. Lihat negara yang maju, tidak ada negara dangkal ilmunya…,” katanya.

Beliau turut menegur ahli politik yang kurang berilmu dengan mengambil pendekatan menyebarkan sentimen, kemarahan, kebencian, termasuk menggunakan agama.

“Ada orang kata politik baru, politik baru apa pun tidak ada ilmu. Ada katakan reformasi. Reformasi pun tidak ada dasar ilmu juga. (Reformasi) tidak menang dengan jeritan. Ia tidak menang dengan pengaruh…mesti berdasarkan ilmu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.