
“Kita mengharapkan agar kisah lama tidak berulang,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini.
Beliau berkata, pengagihan baucar yang bermula petang ini akan dilaksanakan secara berfasa, dengan fokus khusus sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.
Menurutnya, perincian lanjut mengenai mekanisme pengagihan baucar itu akan diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Zaini Ujang pada petang ini.
“Barangkali akan dibuat secara berperingkat, sebagai contoh di peringkat universiti, politeknik dan sebagainya.
“Kita sudah adakan mesyuarat dan beliau (Zaini) akan umumkan apakah pendekatan atau langkah-langkah bagi membolehkan pelaksanaan (pemberian baucar buku) dapat disegerakan.”
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan baucar buku RM100 akan diperkenalkan semula untuk pelajar Tahun 4 hingga IPT, bersama senarai buku yang disyorkan untuk menggalakkan pelajar membeli “buku berkualiti”.
Baucar buku pertama kali diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak pada 2016 sebagai program Baucar Buku 1Malaysia, tetapi hanya diberikan kepada pelajar Tingkatan 6 dan universiti.