
Beliau berkata, inisiatif baharu bantuan kewangan untuk pembelian barangan keperluan asas itu berjumlah antara RM250 hingga RM800 setahun, bergantung kepada kelayakan penerima.
“Penerima yang layak ialah rakyat Sarawak yang tinggal di Sarawak dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah (yang) akan menerima bantuan RM800,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 pada sidang DUN hari ini, lapor Bernama.
“Sementara itu, warga emas tanpa pasangan dan anak berpendapatan RM5,000 dan ke bawah akan menerima bantuan RM400, serta orang bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM250.”
Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM450 juta tahun depan yang memberi manfaat kepada tidak kurang 850,000 penerima, yang kebanyakannya juga penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Sementara itu, Abang Johari berkata, penuntut pengajian tinggi Sarawak daripada keluarga golongan berpendapatan rendah akan menerima bantuan kewangan dalam bentuk wang saku bernilai RM1,200, yang hanya diberikan sekali.
Inisiatif baharu itu bertujuan mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terutama berkaitan bebanan kos pendidikan anak-anak mereka.
“Bantuan kewangan itu akan memberi manfaat kepada 25,000 pelajar Sarawak daripada keluarga golongan berpendapatan rendah dengan pendapatan purata isi rumah RM1,500 atau kurang sebulan,” katanya.
“Wang yang diberikan akan dibelanjakan bagi membeli makanan dan barangan keperluan untuk membantu mereka mengurangkan kos sara hidup. (Sebanyak) RM30 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini (bawah belanjawan negeri),” katanya.
Selain itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan terus menyediakan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 30% bagi graduan yang telah membayar balik pinjaman 30% atau lebih.
Katanya, pada 2024, terdapat 5,419 peminjam yang layak menerima menerima manfaat dengan jumlah bantuan kewangan RM26.15 juta, manakala peruntukan sebanyak RM15 juta akan disediakan bagi tujuan yang sama tahun ini.
Baucar buku bernilai RM500 dan inisiatif komputer riba percuma untuk pelajar universiti B40 juga akan diteruskan tahun depan, dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM2 juta dan RM30.5 juta.