Kumpulan ibu bapa, pelajar sambut baik baucar buku RM100

Kumpulan ibu bapa, pelajar sambut baik baucar buku RM100

Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan berkata, pelajar perlu melangkah lebih jauh dengan pinjam-meminjam buku masing-masing.

reading
Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya, Ten Kang Yeaw berkata baucar lebih baik daripada kad diskaun kerana ramai pelajar tidak mampu membeli buku. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kumpulan mewakili ibu bapa dan pelajar universiti menyambut baik pengenalan semula baucar buku RM100, kali ini untuk pelajar dari Tahun 4 hingga institusi pengajian tinggi.

Selain niat politik, Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) berkata, lebih penting apabila buku dibeli itu dibaca dan budaya membaca dipupuk dalam kalangan generasi akan datang.

“Jangan terlebih fikir, ambil saja. Berdoa ia akan mencetuskan tabiat membaca, yang amat kurang dalam kalangan generasi era TikTok. Malah, pelajar harus melangkah lebih jauh dengan pinjam-meminjam buku masing-masing,” kata Pengerusi PAGE, Noor Azimah Rahim kepada FMT.

Sebaik saja baucar itu diedar dan digunakan, beliau berkata, terpulang kepada ibu bapa untuk memastikan anak mereka membaca buku berkenaan.

Katanya, guru pula perlu tanya pelajar mengenai pilihan buku mereka dan meminta mereka berkongsi sinopsis serta pengajaran diperolehi.

Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Ten Kang Yeaw turut menyokong inisiatif kerajaan kerana beliau percaya ia akan meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar universiti.

Menurutnya, baucar RM100 itu amat dialu-alukan pelajar yang mempunyai minat membaca, tetapi tidak mampu membeli buku sendiri.

“Tetapi, jika kerajaan mahu memastikan inisiatif ini memberi impak, ia perlu dilaksanakan secara konsisten, sekurang-kurangnya sekali setahun, bukannya sekali saja.”

Beliau percaya pemberian baucar buku RM100 lebih baik daripada kad diskaun pelajar kerana mereka masih perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membeli buku, walaupun pada harga diskaun.

“Saya rasa ada pelajar masih tidak mampu membeli buku walaupun pada harga diskaun. Oleh itu, berbanding diskaun, baucar RM100 pilihan lebih baik.”

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan baucar itu akan diperkenalkan semula, bersama senarai buku yang disyorkan untuk menggalakkan pelajar membeli “buku berkualiti”.

Baucar buku pertama kali diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak pada 2016 sebagai program Baucar Buku 1Malaysia. Namun, ia hanya diberikan kepada pelajar Tingkatan 6 dan universiti.

Program itu dibatalkan pada 2017 dan digantikan kad diskaun pelajar bernilai RM250. Kad itu digandakan sebagai kad debit dan pelajar diberikan diskaun untuk pembelian buku, alat tulis serta bahan pendidikan lain.

Sementara itu, Mak Chee Kin daripada Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) ingin tahu siapa yang akan menyediakan senarai buku disyorkan dan penerbitan apa yang layak.

Beliau turut bertanya sama ada baucar itu hanya boleh digunakan di cawangan terpilih atau melalui platform tertentu.

Mak berharap mekanisme pemberian baucar buku itu akan memanfaatkan seluruh ekosistem, daripada pelajar sehingga peserta dalam industri penerbitan buku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.