SPRM sita 6 kediaman mewah, tanah milik Tan Sri

SPRM sita 6 kediaman mewah, tanah milik Tan Sri

Ia susulan siasatan penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

macc sprm
Khamis lalu, SPRM dilaporkan turut menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta milik individu sama berhubung kes itu.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita enam kediaman mewah dan sebidang tanah lot milik seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri semalam, susulan siasatan penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Sinar Harian yang memetik sumber berkata, tindakan itu selepas penggeledahan dilakukan Bahagian Siasatan SPRM membabitkan hartanah bernilai kira-kira RM12 juta.

“Menerusi serbuan terbabit, SPRM turut menemukan seekor kuda mewah bernilai ratusan ribu ringgit yang dipercayai dibeli menggunakan dana sukuk.

“Susulan itu, SPRM juga telah memanggil individu terbabit bersama isterinya bagi diambil keterangan.

“Bagaimanapun, hanya wanita itu sahaja yang hadir selepas suaminya memaklumkan mengalami masalah kesihatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sumber itu berkata, agensi antirasuah itu dijangka memanggil 30 hingga 50 orang saksi untuk membantu siasatan selain meneruskan siasatan untuk mengesan aset milik individu berkenaan di dalam dan luar negara.

Khamis lalu, SPRM dilaporkan turut menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM32 juta milik individu sama berhubung kes itu.

Sitaan itu melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah di ibu negara.

Dalam operasi itu juga, SPRM menemui sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan pelbagai minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan, semua barang dan aset berkenaan disita bagi siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.