Rafizi, Nik Nazmi patut biar PM putus jawatan Kabinet, kata menteri Sarawak

Rafizi, Nik Nazmi patut biar PM putus jawatan Kabinet, kata menteri Sarawak

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad perlu sedar hakikat jawatan menteri ialah prerogatif perdana menteri.

Menteri Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sepatutnya membiarkan perdana menteri tentukan, ‘bukannya mengemukakan surat peletakan jawatan mereka’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang menteri Sarawak berkata, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletak jawatan daripada Jemaah Menteri selepas tewas pemilihan PKR patut membiarkan perdana menteri memutuskan jika mereka perlu mengosongkan jawatan disandang.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun Rafizi dan Nik Nazmi mempunyai hak meletak jawatan sebagai menteri, mereka sepatutnya sedar hakikat jawatan menteri ialah prerogatif perdana menteri.

“Secara peribadi, saya rasa mereka sepatutnya hanya menyuarakan kesediaan mengosongkan jawatan sebagai menteri dan membiarkan Anwar Ibrahim membuat keputusan muktamad sama ada perlu kekal sebagai menteri, bukannya menyerahkan surat peletakan jawatan mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, peletakan jawatan mereka boleh menimbulkan ketidakstabilan politik dan ekonomi, khasnya bagi Malaysia secara keseluruhan.

Menteri Ekonomi, Rafizi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi yang gagal mempertahankan jawatan timbalan serta naib presiden PKR minggu lalu, meletak jawatan kelmarin.

Sebelum ini, Rafizi berjanji melepaskan jawatan menterinya jika tidak dipilih semula, sementara Nik Nazmi berkata beliau mengiktiraf jawatannya sebelum ini sebagai naib presiden PKR antara pertimbangan utama pelantikannya dalam Kabinet Anwar.

Sebahagian pihak memuji mereka berprinsip, tetapi ada juga mengkritik tindakan kedua-duanya melepaskan jawatan menteri tidak bertanggungjawab.

Karim yang pernah berada dalam kedudukan sama berkata, beliau dapat memahami kekecewaan tewas dalam pemilihan PKR, tetapi menyifatkan “itulah politik”.

“Saya berharap mereka mengutamakan kesejahteraan negara sebelum membuat keputusan meletak jawatan.”

Februari lalu, Karim dilaporkan berkata, beliau sedia berundur sebagai menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak serta menteri belia, sukan dan pembangunan usahawan negeri selepas tewas pemilihan jawatan naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu.

Tetapi, beliau menyerahkan keputusan muktamad kepada Premier, Abang Johari Openg yang kemudiannya berkata tiada rombakan dilakukan.

Karim kemudian dilantik ketua penerangan PBB.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito tidak melihat sebarang perubahan radikal akan berlaku susulan peletakan jawatan Rafizi.

Katanya, beliau tidak melihat Rafizi sebagai pemacu utama dasar ekonomi sejak beberapa tahun lalu.

“Bukan disebabkan beliau, tetapi secara amnya, kerajaan tidak mengumumkan atau melaksanakan langkah yang akan menjadi pengubah permainan dalam saingan mendapatkan pelaburan,” katanya kepada FMT.

Di sebalik perbincangan mengenai rasionalisasi subsidi, “tidak banyak yang berlaku” dan beliau hanya melihat sedikit langkah yang lazimnya tidak memanfaatkan perniagaan, seperti e-invois.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.