
Menerusi hantaran di Facebook, Ewon berkata, beliau akan mengutus surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan pengundurannya daripada Jemaah Menteri.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah,” katanya.
Presiden Upko itu memetik prinsip parti untuk memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak perlembagaan Sabah sebagai sebab beliau melepaskan jawatan menteri.
Beliau berkata, perjuangan Upko adalah berdasarkan Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), MA63 dan Akta Malaysia, yang kesemuanya menetapkan syarat-syarat penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
Katanya, perkara-perkara ditetapkan dalam dokumen-dokumen ini, termasuk pengiktirafan dan pelaksanaan hak Sabah ke atas 40% hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu, harus dihormati.
Ewon berkata, beliau telah meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Celestina Stuel Galid dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society dan mendapati bahawa pendirian AGC mengabaikan asas sejarah pembentukan Malaysia.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut,” katanya, menyifatkannya sebagai tidak selaras dengan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam dokumen-dokumen pengasasan negara.
Beliau berkata, memandangkan AGC merupakan penasihat undang-undang kepada perdana menteri dan kerajaan persekutuan, ‘sangat janggal’ bagi beliau untuk kekal dalam Jemaah Menteri dengan pendirian yang bertentangan.
“Pendekatan mereka melihat hak 40% Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai presiden Upko,” katanya.
Terdahulu dilaporkan tercetus spekulasi mengenai kedudukan Ahli Parlimen Penampang itu dalam Jemaah Menteri setelah beliau menghadiri majlis perpisahan yang dianjurkan oleh kakitangan kementeriannya di Putrajaya semalam.
Memetik sumber, Berita Harian melaporkan, Ewon turut mengumumkan beliau akan bercuti dari 11 hingga 29 Nov namun tidak mengulas mengenai peletakan jawatannya sebagai menteri.
Dalam satu pertemuan dengan kakitangan dan agensi kementerian di Temerloh minggu lepas, beliau dipetik berkata: “Ini mungkin ucapan terakhir saya sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi.”
Ewon sebelum ini menyatakan bahawa beliau bersedia melepaskan jawatan menterinya jika kerajaan persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
Dalam ucapan penggulungannya pada konvensyen Upko Penampang sebelum ini, Ewon berkata, beliau telah memaklumkan kepada perdana menteri, timbalan-timbalannya serta menteri-menteri lain mengenai pendiriannya berhubung keputusan mahkamah tersebut.