Lagi ahli MPT Bersatu disingkir, kali ini Khaliq Mehtab

Lagi ahli MPT Bersatu disingkir, kali ini Khaliq Mehtab

Ketua Bersatu Kepala Batas itu mengesahkan perkhidmatannya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ditamatkan yang disifatkan kerana tidak sokong penuh Muhyiddin Yassin dalam 'perkara tertentu'.

Bekas ahli MPT Bersatu, Khaliq Mehtab Ishaq berharap berharap pelantikan MPT akan datang bukan sekadar melahirkan ‘pak turut’.
PETALING JAYA:
Ketua Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Ishaq mengesahkan keanggotaanya sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ditamatkan yang disifatkan kerana tidak menyokong penuh presiden dalam ‘perkara tertentu’.

Beliau berkata, proses peralihan kuasa wajar dilaksana secara tuntas, segera, dan berhemah demi memperkukuh perpaduan serta hala tuju masa depan parti.

“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinan.

“Saya menghormati keputusan tersebut, namun sebagai ahli MPT yang dipilih untuk memperkukuh institusi parti, saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza merupakan sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, beliau berharap pelantikan MPT akan datang dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti mahupun prinsip perjuangan dan bukan sekadar melahirkan ‘Yes Man’ (pak turut).

Dalam pada itu, Khaliq turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan parti.

Khaliq antara seorang daripada lima individu yang dilantik dalam MPT Bersatu pada Januari lalu.

Pelantikan lain turut melibatkan bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar, Harisson Hassan (Bahagian Kuala Selangor, Danni Rais (Jelebu), dan Alkaf Jaziri Abdillah Suffian (Santubong).

Sebelum itu, Bersatu dilaporkan memecat Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli MPT atas dakwaan melanggar perlembagaan dan kod etika parti, selain seorang lagi ahli MPT digantung sepenggal, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Empat lagi yang dipecat adalah Mohd Azrudin Md Idris dari Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur), dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Tindakan itu dipercayai berkait dakwaan penglibatan beberapa individu dalam ‘gerakan akuan berkanun (SD)’ yang bertujuan menjatuhkan Muhyiddin Yassin selaku presiden, serta peranan mereka dalam kekecohan yang berlaku semasa satu acara rasmi parti, baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.