Jumpa di mahkamah, Asyraf beritahu Mas Ermieyati

Jumpa di mahkamah, Asyraf beritahu Mas Ermieyati

Asyraf Wajdi Dusuki berkata barisan peguam Mara akan mulakan prosiding saman terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah itu.

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau boleh menerima kritikan terhadapnya, tetapi bukan fitnah memburukkan institusi itu seperti dilakukan Mas Ermieyati Samsudin.
PETALING JAYA:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin kerana didakwa memfitnah agensi itu.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau boleh menerima kritikan terhadapnya.

“Contohnya, tidak wajar seorang pengerusi yang bukan eksekutif terjah ke institusi-institusi pendidikan Mara seperti MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), IKM (Institut Kemahiran Mara), KKTM (Kolej Kemahiran Tinggi Mara) tanpa maklumkan kepada pihak pengurusan kerana akan menyusahkan mereka,” tulisnya dalam catatan Facebook.

Tetapi, menurutnya, beliau tidak boleh menerima fitnah yang memburukkan institusi Melayu-Bumiputera itu.

“Tak habis-habis seorang pembangkang dari Melaka buat pelbagai fitnah kononnya saya habiskan duit Mara sebab terjah, tebuk hafazan dan Mara dah tak biayai pelajar TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional).

“Insya Allah, barisan peguam Mara akan mulakan prosiding saman kepada beliau…Jumpa di mahkamah, YB Mas!” katanya merujuk pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.