
Masalah itu timbul selepas jawatankuasa pengurusan bagi pangsapuri Royal Strand & Lovell tidak mengambil langkah untuk terus menjadi plaintif selepas menggantikan JMB.
Saman itu difailkan terhadap Country Garden Danga Bay Sdn Bhd pada 2023 yang mendakwa terdapat kerja pembinaan tidak berkualiti, penggunaan bahan tidak menepati piawaian dan pelbagai kecacatan tidak diperbaiki dalam dua bangunan pangsapuri mewah di Danga Bay.
Pemilik pangsapuri itu berkata, pemaju memasarkan hartanah berkenaan sebagai projek kediaman mewah bertaraf tinggi, tetapi mereka mendakwa sebahagiannya tidak menepati piawaian serta berkualiti rendah.
Susulan itu, pemilik memohon perintah supaya pemaju diarah melantik jurutera bebas profesional untuk menilai kerosakan dan membaiki semua kecacatan.
Pemaju membantah permohonan pemilik kondominium untuk menjadi plaintif dalam saman itu atas alasan jawatankuasa pengurusan adalah entiti sah bagi memutuskan sama ada tindakan itu wajar diteruskan.
Tetapi, tiga pemilik dari Singapura – Soh Hup Ling, Ho Chee Kian dan Jiang Fang – berkata mereka memutuskan untuk menjadi plaintif kerana mendakwa jawatankuasa pengurusan kini dikawal individu mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pemaju.
“Pengerusi jawatankuasa pengurusan ialah pengarah Country Garden ketika mesyuarat tahunan diadakan, manakala ahli jawatankuasanya terdiri daripada kakitangan pemaju,” kata mereka yang berhujah wujud konflik kepentingan jika jawatankuasa pengurusan terus menjadi plaintif.
Dalam penghakiman lisan ringkas Jumaat lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Budiman Lutfi Mohamed memutuskan wujud “risiko sebenar berlaku konflik kepentingan” susulan dakwaan jawatankuasa pengurusan dikawal individu mempunyai kaitan dengan defendan dan mungkin tidak bertindak demi kepentingan terbaik pemilik. “Dan ini tidak boleh menjadi hasil keadilan,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah tidak patut bersikap mekanikal dalam penghakimannya, sebaliknya perlu meneliti fakta kes secara keseluruhan dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan keadilan.
“Terdapat risiko sebenar berlaku konflik kepentingan susulan dakwaan jawatankuasa pengurusan dikawal individu ada kaitan dengan defendan dan mungkin tidak bertindak demi kepentingan terbaik. Ini tidak boleh menjadi hasil keadilan. Bantahan prosedur tidak boleh mengatasi keadilan sepadan.”
NG Vinod dan Lim Wilson mewakili pemilik pangsapuri, manakala pemaju diwakili Leonard Yeo serta Chen Mei Yan.
Country Garden Danga Bay sebahagian daripada kumpulan Country Garden milik China yang sedang membangunkan projek Forest City di empat pulau tebus guna di Selat Johor.
Harga pangsapuri dalam projek kondominium Royal Strand dalam lingkungan RM345,000 hingga RM3 juta setiap unit, menurut laman web hartanah.