Guan Eng, anak menang saman fitnah terhadap Wan Azri

Guan Eng, anak menang saman fitnah terhadap Wan Azri

Mahkamah Tinggi memutuskan Wan Azri Wan Deris telah memfitnah kedua-duanya melalui hantaran di Facebook pada 2020.

Lim Guan Eng (kiri) dan anaknya, Clint Lim (tengah), dianugerahkan ganti rugi RM280,000 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan Wan Azri Wan Deris telah memfitnah mereka di Facebook pada 2020.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan pempengaruh politik Wan Azri Wan Deris membayar ganti rugi RM280,000 kepada bekas pengerusi DAP Lim Guan Eng dan anaknya berhubung satu hantaran Facebook berunsur fitnah yang dibuat pada 2020.

Hakim Roslan Mat Nor memutuskan bahawa Wan Azri telah memfitnah mereka menerusi hantaran bertarikh 14 Mac 2020 yang mendakwa Clint Lim ditahan ketika cuba menyeludup RM2 juta ke Singapura.

Hantaran itu turut mendakwa Guan Eng melarikan diri ke republik berkenaan pada 29 Feb 2020 untuk menyelamatkan anaknya.

Mahkamah memerintahkan Wan Azri membayar RM200,000 sebagai ganti rugi kepada Guan Eng dan RM80,000 kepada anaknya, selain kos guaman masing-masing sebanyak RM30,000 dan RM10,000.

Dalam alasan penghakimannya, Roslan berkata selepas meneliti keterangan dikemukakan di mahkamah, beliau mendapati Wan Azri adalah individu di sebalik akaun yang menerbitkan hantaran-hantaran itu.

Beliau turut menyatakan tiada bukti menunjukkan akaun itu dikendalikan oleh mana-mana pihak lain.

Beliau juga menolak hujahan Wan Azri bahawa saman itu bermotifkan politik, dengan menyatakan hujahan sedemikian tidak relevan dengan prosiding kes itu.

“Apa yang lebih penting ialah mahkamah perlu memberi tumpuan kepada isu fitnah, dan tidak dipengaruhi oleh isu politik atau pengaruh luar.

“Keputusan mesti dibuat berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah ini,” katanya.

Mahkamah turut menolak penggunaan pembelaan justifikasi oleh defendan.

Dalam pembelaan itu, Wan Azri berhujah beliau bukan pihak yang mula-mula membuat dakwaan tersebut, sebaliknya hanya bergantung kepada laporan pihak ketiga, khususnya laporan media berhubung kedua-dua individu berkenaan.

“Bolehkah seseorang yang menerbitkan semula hantaran di media sosial bergantung kepada pembelaan justifikasi hanya kerana wujudnya platform media sosial?

“Pada pandangan mahkamah, seseorang yang menerbitkan semula sesuatu hantaran memikul tanggungjawab yang sama seperti pihak yang mula-mula menerbitkannya.

“Oleh itu, individu itu tidak boleh begitu sahaja melepaskan diri daripada tanggungjawab undang-undang. Justeru, adalah penting bagi orang ramai yang menerima kenyataan yang belum dapat dipastikan kebenarannya supaya tidak menyebarkannya semula secara sewenang-wenangnya,” katanya.

Mahkamah juga mengambil maklum pengesahan polis bahawa Clint tidak pernah ditangkap, manakala pasport Guan Eng disimpan oleh mahkamah berikutan kes jenayah yang dihadapinya.

Simon Murali mewakili Lim dan anaknya manakala Logan Eskander Abdullah mewakili Wan Azri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.