
Ketua Polis Arau, Ahmad Mohsin Md Rodi berkata suspek sepatutnya hadir ke Mahkamah Majistret Kangar pada 8 pagi semalam bagi menghadiri perbicaraan namun enggan, sebelum ditemui tidak sedarkan diri pada 4.30 petang.
“Lelaki berusia 28 tahun itu yang berada dalam selnya dilawati setiap jam oleh wadar bertugas dan setiap tinjauan mendapati dia hanya diam sambil berbaring di tempat tidur.
“Pada 4.30 petang, wadar cuba mengejutkan lelaki itu yang disangka tidur namun mendapati dia tidak lagi bergerak dan segera membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar,” katanya dalam kenyataan lapor Berita Harian.
Katanya, doktor mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia sebelum tiba di hospital dan laporan polis berhubung kematian banduan itu dibuat dibuat pada 5.25 petang.
Mohsin berkata, si mati yang berasal dari Setiu, Terengganu adalah anggota IPK Perlis yang direman kerana kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, lelaki itu ditahan sejak 17 Mac 2023 dan menunggu untuk dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi, Kangar. Dia juga mempunyai rekod psikiatri yang dirujuk di beberapa hospital sejak 2017.
Katanya, polis juga tidak menemui sebarang unsur jenayah berkait kematian itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.