
Lengkap dengan pendingin hawa, bilik rawatan, kamera pemantauan dan ruang bermain, rumah itu kini menempatkan kira-kira 20 kucing yang kebanyakannya diselamatkan di jalanan.
Wendy Chak, 63, berkata dia mula menempatkan kucing jalanan di rumah itu sejak Mac tahun lalu selepas membeli dan mengubah suai kediaman berkenaan supaya sesuai untuk membela haiwan tersebut.
“Kucing-kucing ini semuanya milik saya, bukan untuk adopsi. Ada yang saya selamatkan sejak dua hingga lima tahun lalu.
“Saya mahu pastikan mereka hidup dalam persekitaran yang selesa dan selamat,” kata pengarah di sebuah syarikat kenderaan itu.
Wendy yang juga pengasas Lingy Pet Adoption, sebuah inisiatif menyelamat dan adopsi haiwan sejak tiga tahun lalu, turut menjadikan rumah tersebut sebagai tempat jagaan sementara untuk kucing jalanan.

Aktiviti kebajikan dan menyelamatkan kucing
Sepanjang pembabitan berkaitan kebajikan haiwan, Wendy juga terlibat dalam usaha menyelamatkan kucing jalanan yang menjadi mangsa serangan anjing liar di sebuah universiti pada Disember lalu.
Beliau bersama aktivis lain dan pelajar berjaya menyelamat serta memindahkan kira-kira 22 kucing di universiti berkenaan.
Katanya, segala kos rawatan, pemulihan dan makanan ditanggung sepenuhnya oleh beliau, malah hampir semua kucing itu berjaya diserahkan kepada pemilik baharu.
Selain kucing jalanan, Wendy juga pernah menyelamatkan seekor kucing putih yang dikurung selama tiga tahun untuk dibiakkan secara tidak beretika dan tanpa lesen oleh pemiliknya bagi tujuan komersial.
“Ketika diselamatkan, berat kucing itu yang dinamakan sebagai ‘Zara’ hanya 1.8kg. Bila dibawa ke klinik untuk ujian darah, doktor sahkan ia menghidap penyakit buah pinggang tahap tiga.
“Doktor kata hayatnya mungkin tinggal enam bulan. Tapi selepas rawatan intensif, kini beratnya hampir 5kg dan kesihatan pulih sepenuhnya,” katanya.

Etika dan tanggungjawab pembiakan kucing secara komersial
Seperti kisah ‘Zara’, seorang pembiak baka kucing berlesen, Angeliana Dennis Timban, 38, tidak menafikan ada sebilangan individu tidak beretika dan mengabaikan kebajikan haiwan itu ketika membiakkan baka kucing.
Mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015, individu yang ingin membiakkan baka kucing secara komersial diwajibkan mendapatkan lesen daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Angeliana berkata, meskipun sering dikecam, misinya jelas memastikan kucing dijaga dengan bertanggungjawab dan diserahkan kepada pemilik yang layak, sambil membuka mata masyarakat tentang cara pembiakan yang betul.
“Pembiak baka yang tidak bertanggungjawab ini tiada ilmu, tak ikut prosedur. Mereka ‘kahwinkan’ kucing yang ada hubungan adik-beradik hingga lahirkan anak cacat.
“Semua kerana fikir duit, mereka tak fikir langsung pasal kebajikan kucing,” katanya.
Angeliana membiak baka kucing British Shorthair secara terkawal dan profesional. Setiap anak kucing hanya dijual selepas menerima tiga dos vaksin, ujian darah lengkap, dan memiliki sijil kesihatan biasanya pada usia lima hingga enam bulan.
“Saya hanya benarkan kucing beranak setahun sekali. Ada dua bilik khas, satu untuk kucing betina dan anak-anaknya, satu lagi untuk kucing jantan.
“Pembeli akan ditapis. Saya akan tanya berapa ekor kucing mereka ada, sesuai atau tidak tempat yang disediakan. Kalau mereka mahu membela kucing dalam sangkar, walaupun mampu beli, saya tidak akan lepaskan,” katanya.
Katanya, hasil jualan anak kucing itu digunakan semula untuk menampung kos penjagaan, termasuk bil elektrik, makanan dan kos rawatan yang boleh mencecah lebih RM10,000 sebulan.
“Pernah ada seekor kucing saya kena tahan wad lapan hari, bilnya RM3,000 – semua itu dibayar guna duit jualan, bukan untuk kegunaan peribadi,” katanya.