
Cinta pertama sahaya ketika itu ialah selepas pandemik Covid-19. Ia gadis sunti kampung, berasal dari kebun adik perempuan sahaya di Simpang Ampat. Lasak, tampangnya kukuh, dan tangkas. Seperti dijangka, ia tidak mahu dikurung; mahu merdeka bebas dan lincah sepanjang malam. Jika dikurung, ia akan menggelupur dan membising sehingga kita tidak tahan oleh gangguan bunyinya.
Ia suka merayau entah ke mana. Memang meresahkan jika ia tidak pulang, kadang terpaksa diseru dan dicari. Ia akan pulang setelah lama dipanggil. Ia mengekori kita pulang dengan sikapnya acuh tidak acuh. Itu membuatkan kita geram dan kadang baran olehnya.
Itulah cinta pertama sahaya.
Sebelumnya, sahaya tidak begitu mempedulikan malah kadang berasa rimas dengan kucing. Sahaya berasa terganggu dengan najis kucing liar yang tidak bertuan. Memang sahaya ada mengarang sebuah novel, judulnya ‘Manikam Kalbu’, di mana protagonisnya adalah seekor kucing baka tempatan yang gemuk. Ia seekor kucing yang banyak berbuat hal. Tetapi ketika itu sahaya hanya membaca sahaja perihal kucing, tidak ada keinginan membelanya. Dari pembacaan yang banyak itulah sahaya membangunkan plot novel yang terkenal itu.
Akan tetapi Luca, gadis sunti dari kampung itu merubah persepi dan keyakinan sahaya. Ia banyak berbakti dalam kejiranan. Ia menangkap ular-ular kecil. Seingat sahaya ada tiga empat kali ia membawa pulang ular kecil sebagai pemberian ikhlas. Tikus dan cicak memang menjadi kelazimannya.
Sahaya gembira dengan sumbangsih Luca. Hidup meski sekejap mestilah berjasa.
Cuma satu kelakuan dan tingkah Luca ialah ia kelihatan sombong. Ia tidak makan pujuk dan hanya benar-benar ingin dimanja sebentar ketika terlalu lapar. Kalau ia dimanjai lebih, ia akan menggigit. Itulah tandanya ia ingin bersahabat. Memang aneh.
Pernah sekali Luca dilanggar lari, kakinya terbengkok ke belakang, dan jika dibiarkan ia akan menjadi cacat kekal. Kucing Kurang Upaya: itu hakikat yang menakutkan. Hakikat bahawa ia akan tidak dapat lagi berlari laju, melasak dan berburu membuatkan saya tertekan.
Saya berlari membawanya ke hospital haiwan, Jhan Clinic, dengan kepakaran doktor di sana, Luca dibedah dan kakinya dibetulkan, dimasukkan dawai di dalam. Syukur Luca seperti asalnya malah serasa berlari lebih laju.
Sejak itu sahaya belajar meladeni kucing. Berhenti memarahi kucing. Ada beberapa kali sahaya cuba mengambil kucing lain, namun Luca nampaknya tidak memperkenankan. Iri dan cemburunya naik ketara.
Pun, sahaya perlahan-lahan mencari seekor lagi kucing untuk dipelihara. Akhirnya Qaswie tiba ke rumah pertengahan tahun 2025.
Di negara kita, haiwan peliharaan paling mashyur tentulah kucing, lebih 70% pemilik haiwan kesayangan memilih untuk menjaga kucing. Sekurang-kurangnya ada seekor kucing di sebuah rumah. Kemudian, anjing berada di tempat kedua dengan sekitar 15%, diikuti oleh binatang lain seperti ikan tropika, arnab, hamster, ikan emas, burung, reptilia, serta haiwan kecil lain.
Qaswie seekor kucing Maine Coon yang tipikal, berbulu separa panjang tebal dan licin, berjumbai bulu di sekeliling leher yang membuatkannya terlihat seakan surai singa. Fakta mengatakan baka Maine Coon lebih sesuai untuk iklim sejuk, kerana itulah ia berbulu lebat.
Isteri saya memberi namanya Qaswie, gara-gara kuih kegemaran saya kaswi.
Untuk mereka yang telah jatuh cinta seperti sahaya, Maine Coon pasti menambat jiwa dan kalbu manusia. Maine Coon, seperti Qaswie, sangat mesra dan lembut. Qaswie terlalu selalu ingin berinteraksi.
Seperti Maine Coon yang lain, ia begitu ekspresif dan mengeluarkan aneka bunyi kerap, seolah-olah bertutur dengan sahaya. Makanya, sahaya boleh duduk mengarang, ditemani Qaswie tatkala sore menjelang. Ya seperti sahaya sedang menuliskan nukilan ini. Ada Qaswie di sisi. Ia mengeluarkan bunyi lain dari miau biasa. Kadang ia seperti mengerang. Acap ia adalah ‘chirping’, sejenis ciapan tetapi bukan seperti burung. Kedengaran lazim adalah ‘trilling’, getar manja menandakan ia memang suka bermanja, dan sesekali Qaswie ‘yowling’, sejenis pekik nyaring yang menurut sahaya adalah usahanya untuk memanggil kita seboleh mungkin.
Luca tidak mahu terserempak dengannya. Luca sebagai ‘senior’ berasa malas melayan perangai Gen Beta yang mengada. Tambah baka dari luar negara. Tetapi Luca juga tidak mahu bergaduh dengannya makanya tiada sesiapa yang terlalu teritorial, dan agresif menakluk ruang. Masing-masing faham sendiri untuk mengelak kalau bertembung. Hanya bunyi menderam Luca yang selalu menjadi aksi dan isyarat ia memang tidak kuasa untuk berkawan bersosial apatah lagi berparti.
Kata orang Maine Coon boleh membesar, lantaran gabungan kecenderungan genetiknya. Qaswie belum cukup setahun, maka sahaya ada masa yang banyak untuk menilai dan melihat perkembangannya. Meskipun Malaysia tidak bersalji, pun Qaswie sahaya percaya boleh membesar dan berbulu panjang dengan jumbai bulu di telinga dan celah jari. Tapi ya Malaysia kadang kala cukup dingin, kerana penghawa dingin di rumah boleh jatuh serendah 16 darjah celsius.
Sebenarnya apa yang membuatkan sahaya jatuh cinta? Jatuh cinta dengan kucing tidak terlalu menekan jiwa.
Suatu yang sahaya pelajari ialah dahulu sahaya sering stres. Lama dahulu tatkala wahabi di Malaysia mengganggu sahaya sebagai pengamal ajaran sesat, sahaya ikut dibuli di tempat kerja. Ada bos sahaya sangat jahat, melajakkan sahaya menjawab surat tunjuk sebab begitu kerap. Tanpa sebab. Ia ditanda dalam rekod perkhidmatan. Sahaya murung. Syukur hari ini ramai orang sudah tahu dia sebetulnya walaun dan scammer.
Hari ini, pentadbiran kerajaan yang baharu lebih lunak. Orang atas juga akhirnya belajar memahami geo-politik dan kepakaran sahaya yang diiktiraf di luar negara. Tetapi ada hak sahaya yang telah terkorban tidak dapat diganti semula.
Kemurungan sahaya itu akhirnya ditangani dengan Luca, dan kini beralih ke Qaswie. Kucing teman berbual yang baik. Ia tidak mengadili. Ia tidak berhujah kembali. Ia tidak juga akur membodek, tetapi cuba memahami.
Kucing Maine Coon tersohor kerana suka ‘bercakap’ dengan manusia — makanya tidaklah menghairankan Qaswie acap ingin berbual. Dalam banyak keadaan ia gemar meluahkan perasaan maka menjadi semacam terapi yang menyeronokkan.
Seorang doktor haiwan memberitahu sahaya yang Maine Coon seperti Qaswie memiliki repertoir 63 bunyi, dan lebih mudah merintih daripada mengiau.
Sahaya juga mendapati Qaswie boleh diarah, dan diajari. Sebarang nada tegas seperti ‘tidak’ atau ‘berhenti’ akan memberikan satu sentakan buatnya dan ia pun patuh.
Ada seorang teman sekerja, dia seperti sahaya dahulu-dahulu. Dia anti kucing. Mungkin kerana dia tidak bernasib baik, menetap di kejiranan yang ada banyak kucing liar memberak di hadapan laman rumah. Ia menumbuh rasa benci kepada kucing dengan meluap-luap. Malah ia pernah cuba melanggar seekor kucing yang disyaki.
Nasihat sahaya kepadanya, belajar mengenal, dan jangan terlalu meletakkan kebencian sebagai rasa terbesar. Tidak siapa tahu bila kita akan jatuh cinta dan jatuh cinta setelah benci biasanya berat, dan dalam.
Teman itu baru ini naik haji dan bersahabat dengan seekor kucing di Madinah. Dia belum jatuh cinta lagi nampaknya. Barangkali belum bertemu yang secocok.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.