
Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman, berkata tindakan diambil selepas laporan dibuat pengadu iaitu pemilik kucing berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai melibatkan tiga suspek berusia lingkungan lima hingga 11 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan 428 kanun sama kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan.
Norhizam menyeru masyarakat tidak memandang remeh isu penganiayaan haiwan, sambil menyatakan tindakan sedemikian sebagai tidak berperikemanusiaan, malah melanggar undang-undang.
Pemilik haiwan berkenaan ada berkongsi beberapa video berkait insiden itu selepas gagal menemui anak kucingnya yang bernama Jojo, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan tiga individu mengambil anak kucing itu dari luar kawasan rumahnya.
Pemilik mendakwa, ketiga-tiga individu tersebut mengambil anak kucing itu dan meletakkannya dalam bekas tertutup selama beberapa jam, mengakibatkan sesak nafas.