Manfaat bakat wanita, Asean boleh jana potensi ekonomi USD2.3 trilion

Manfaat bakat wanita, Asean boleh jana potensi ekonomi USD2.3 trilion

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata tugas pemimpin Asean ialah memastikan wanita di rantau ini dihormati, bukannya menjadi mangsa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata bakat 334 juta wanita di seluruh Asean boleh dimanfaatkan menerusi pendidikan, akses kepada peluang dan dasar menyokong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Langkah memanfaatkan bakat 334 juta wanita di seluruh Asean menerusi pendidikan, akses kepada peluang dan dasar menyokong boleh menjana potensi ekonomi luar biasa bernilai USD2.3 trilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.

Mengakui wanita sering berdepan keadaan tidak memihak kepada mereka, beliau berkata, Asean boleh mengubah keadaan itu dengan memperkukuh persekitaran bagi membolehkan wanita meneruskan kelangsungan, menyertai semula tenaga kerja, memulakan atau mengekalkan perniagaan serta tidak perlu memilih antara dunia keibuan dan kerjaya.

“Ini pelan hala tuju untuk kemakmuran masa depan Malaysia dan Asean,” katanya menurut Bernama dalam ucaptama Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita Asean 2025, sempena Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, tugas pemimpin Asean dalam sektor awam dan swasta ialah memastikan wanita di rantau ini dihormati, bukannya menjadi mangsa.

Beliau berkata, Kerangka Ekonomi Madani Malaysia – menekankan kemampanan, kemakmuran dan keterangkuman – meletakkan pemerkasaan wanita sebagai nadi pembangunan negara.

Beliau memberi contoh di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) sendiri, pelbagai langkah utama dilaksanakan termasuk melancarkan Program Pembangunan Pengeksport Wanita, membantu 500 perniagaan diterajui wanita mengakses pasaran antarabangsa.

“Kami turut memperkenalkan peruntukan responsif terhadap gender dalam semua perjanjian perdagangan baharu dan mewujudkan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dalam sektor pertumbuhan tinggi.”

Langkah lain termasuk pengenalan Inisiatif Wanita dalam Industri dan Perdagangan, kerjasama dengan Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia bagi meningkatkan kemahiran serta keupayaan wanita dalam sektor perindustrian dan eksport.

“Saya juga perlu menekankan dalam Miti, wanita membentuk kira-kira 69% daripada pengurusan utama. Saya tidak dapat melakukan apa-apa tanpa mereka.

“Contohnya, ketua perunding bagi rundingan tarif Amerika Syarikat (AS) dan seorang daripada timbalan ketua setiausaha Miti ialah wanita. Kami juga mempunyai ramai lagi berpengalaman luas.”

Katanya, rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) terkini Malaysia turut merangkumi bab khusus penyertaan ekonomi oleh wanita kerana perdagangan inklusif ialah perdagangan mampan.

Malaysia juga berazam melonjakkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 63% menjelang 2030, memastikan 30% jawatan lembaga korporat dipegang wanita dan menggandakan jumlah perniagaan diterajui wanita yang mengakses pasaran eksport.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita Asean yang pertama akan ditubuhkan di Kuala Lumpur bagi memastikan potensi dan peluang dalam blok serantau dapat diakses semua, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, belia serta wanita.

Katanya, inisiatif itu selaras tema Kepengerusian Asean 2025, iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.