Lawatan Anwar bukti persahabatan utuh Malaysia, Timor-Leste

Lawatan Anwar bukti persahabatan utuh Malaysia, Timor-Leste

Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta berkata perbincangan bersama Anwar Ibrahim tertumpu pada masa depan termasuk pelaburan lebih besar Malaysia di negara itu.

Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta bersama Anwar Ibrahim di Istana Presiden. (Gambar Bernama)
DILI:
Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta menyifatkan lawatan sulung dua hari Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai bukti persahabatan utuh antara kedua-dua negara, mengimbau sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia semasa perjuangan negara itu untuk mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, perbincangan bersama Anwar adalah membina dan tertumpu pada masa depan termasuk pelaburan Malaysia yang lebih besar dalam perniagaan tani, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui, serta pendidikan dan latihan vokasional untuk belia Timor-Leste.

Ramos-Horta turut mengumumkan, Anwar akan dikurniakan anugerah tertinggi negara itu ‘Grand Collar of the Order of Timor-Leste’ sebagai pengiktirafan terhadap bantuannya dan peranan Malaysia selama ini dalam menyokong aspirasi negara itu menyertai Asean, khususnya sebagai pengerusi Asean 2025.

“Anugerah ini adalah penghormatan terhadap komitmen peribadinya dan sokongan penting Malaysia. Timor-Leste dan Malaysia bukan sahaja berjiran tetapi rakan kongsi dalam membina Asia Tenggara yang bersatu dan makmur,” katanya pada sidang media bersama di Istana Presiden di sini.

Sementara itu, Anwar yang menyatakan sudah lama bersahabat dengan Ramos-Horta, menyifatkan kunjungan bukan sahaja bersifat rasmi malah peribadi.

Beliau berkata, lawatan itu penting di samping mengetengahkan sejarah bersama kedua-dua negara dan sokongan konsisten Malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan Timor-Leste.

Perdana menteri menekankan keutamaan dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pertahanan, sambil mengalu-alukan penglibatan Petronas dan syarikat swasta Malaysia.

“Kemasukan anda (Timor-Leste) ke Asean hanya menunggu masa. Malaysia menantikan untuk meraikan keanggotaan Timor-Leste pada Sidang Kemuncak Asean pada Oktober,” katanya.

Timor-Leste akan diterima secara rasmi sebagai anggota Asean ke-11 pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.