
Mengulas perdebatan awam susulan kenyataan beberapa pihak berkaitan isu itu, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata pihaknya berpegang kepada pendirian setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang kedua tanpa mengira jantina.
“Sebagai kanak-kanak, sebaiknya mereka harus diberi peluang dan ruang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri, dan membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Nancy menyeru semua pihak bersatu menangani isu berkenaan lebih menyeluruh, bukan hanya melalui peruntukan undang-undang, tetapi juga dengan memperkukuh institusi keluarga, membentuk sahsiah masyarakat serta mempertingkat kesedaran awam.
Baru-baru ini, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat dilapor mencadangkan perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Yusoff berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90% kes rogol bawah umur dilaporkan di negeri itu adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Nancy ketika mengulas lanjut, berkata proses pemulihan penting untuk memastikan perkembangan emosi, kognitif, dan sosial kanak-kanak diteruskan secara sihat.
“Fokus utama kami ialah memberi tumpuan kepada kaunseling, pendidikan dan sokongan yang tersusun bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka.”
Beliau menegaskan tanggungjawab membimbing dan melindungi kanak-kanak terletak pada individu dewasa dan eksploitasi terhadap mereka dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima sama sekali.
“Bagi kes yang dibuktikan mempunyai elemen eksploitasi atau penderaan, kerajaan akan memastikan undang-undang dikuatkuasakan dengan tegas dan berkesan terhadap pelaku,” katanya.