MuviiGrind buru bakat baharu pacu revolusi drama vertikal Asean

MuviiGrind buru bakat baharu pacu revolusi drama vertikal Asean

Projek itu mahu mengangkat kisah hidup masyarakat rantau Asia Tenggara dengan Kuala Lumpur dipilih titik mula revolusi hiburan serantau.

Antara peserta mengikuti uji bakat ajuran MuviiGrind di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Platform hiburan inovatif MuviiGrind memulakan pencarian bakat baharu bagi menjayakan projek drama vertikal terbarunya yang bakal menampilkan kisah kehidupan masyarakat di seluruh Asean.

Kuala Lumpur menjadi lokasi pertama sesi uji bakat sempena mesyuarat Asean ke-47, dengan lebih 120 peserta hadir di Hotel Teedo manakala lebih 480 individu mendaftar dari seluruh negara.

Susulan sambutan menggalakkan, sesi uji bakat kedua dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Panel pemilihan diketuai nama besar industri seperti Fauziah Nawi, Rosnah Johari, Zila Bakarin, selain pengarah dan penulis prolifik Hafiz Derani, Zaiham Zainal (Curly Jow) dan Rizuan Md Nor (Apple).

Turut serta pelakon Danial Dashuki dan Tiara Suraya bagi memberi perspektif tambahan kepada peserta.

MuviiGrind turut menerima sokongan Teedo Hotel selaku penaja lokasi dan Dosz Coffee Malaysia yang menyediakan lebih 500 minuman percuma kepada peserta.

Menurut MuviiGrind, inisiatif ini sebahagian daripada strategi membina jaringan hiburan serantau, termasuk merancang penglibatan pemenang festival filem antarabangsa seperti Cinema International Film Festival (Filipina), Piala Citra (Indonesia) dan Suphannahong National Film Awards (Thailand).

“Matlamat kami adalah menghasilkan drama vertikal yang mampu menembusi pelbagai budaya dan selera penonton di Asean,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.