
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata pihaknya sudah merakam percakapan lima individu termasuk tokoh korporat berkenaan, selain akan memanggil 13 orang saksi.
“Setakat ini lima individu termasuk tokoh korporat berkenaan telah dirakam percakapan dan lain-lain saksi dianggarkan seramai 13 orang akan dirakam percakapan.
“Pembekuan akaun adalah 100 akaun perbankan milik tokoh korporat berkenaan. Ahli keluarga serta syarikat-syarikat berkaitan dengannya semuanya dibekukan bernilai lebih kurang RM217 juta,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, lapor Buletin TV3.
Mengulas lanjut, keterangan itu bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan satu pelaburan dengan syarikat luar pesisir dikawal dua orang proksi yang disyaki terlibat dalam rasuah.
Pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama daripada beberapa negara lain termasuk Brazil dan Singapura.
Azam memaklumkan dua kertas siasatan dibuka iaitu di bawah Akta SPRM dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
SPRM sebelum ini mengesahkan satu siasatan sedang dilakukan berhubung kes pengubahan wang haram dikaitkan dengan Sapura Energy Berhad (SEB).
Fokus siasatan SPRM dilapor menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM iaitu salah guna kuasa dalam isu membabitkan ganjaran yang meliputi gaji, bonus dan syer, selain ‘branding fee’ (yuran penjenamaan) dan amalan ‘private placement’ (penyenaraian persendirian) antara 2012 hingga 2021.
Siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.