
Beliau memberi keterangan kira-kira sejam selepas tiba di pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAHEAIK di Balai Islam Lundang, Kota Bharu kira-kira 10.40 pagi.
Ketika ditemui, Nik Zawawi berkata beliau telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kenyataan dibuatnya semasa satu kuliah agama baru-baru ini.
“Selepas dipanggil pihak polis baru-baru ini, hari ini saya pula dipanggil Jaheaik untuk memberi keterangan mengenai isu yang sama.
“Saya memberikan kerjasama penuh kepada mereka dan berharap perkara ini dapat diselesaikan,” katanya menurut Harian Metro.
Ditanya mengenai kecaman berterusan yang diterimanya walaupun sudah membuat permohonan maaf secara terbuka, beliau berkata pihak terbabit akan menanggung akibat daripada tindakan sendiri.
“Tidak mengapa. Mereka akan menanggung dosa sendiri kerana dosa saya akan dipindahkan kepada mereka,” katanya.
Difahamkan siasatan itu dilakukan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah kerana didakwa memutarbelitkan ajaran Islam, Seksyen 30 enakmen sama kerana mengeluarkan kata-kata yang boleh memecahkan keamanan awam, serta Seksyen 120 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kerana menghina agama.
Polis sebelum ini juga dilaporkan sudah mengambil 65 keterangan berhubung dakwaan kontroversi Nik Zawawi itu mengenai sahabat Nabi Muhammad.
Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat dipetik sebagai berkata 63 laporan diterima di seluruh negara sehingga kini dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.