
Saksi ke-67 yang dipanggil semula itu ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, berkata psikologi seorang kanak-kanak adalah sangat peribadi dan bergantung kepada konteks.
“Ia lebih penting mengenai bagaimana dia mentafsir dan memproses konflik kerana perkara itulah yang akan menentukan apa yang dirasainya.
“Saya bersetuju bahawa tahap penularan konflik itu tidak diketahui. Ia mungkin konflik yang sekejap ada, sekejap tiada (berkala) dan bukannya jenis konflik 24 jam seminggu. Namun, itu tidak bermakna kesakitan tersebut tidak benar.
“Perlu ditekankan bahawa di dalam diari-diari tersebut, ia bukan sekadar kekecewaan atau kemarahan biasa. Ia adalah kesakitan sehingga ke tahap di mana dia meluahkan keinginan untuk tidak lagi hidup dan keinginan agar ibunya juga tidak hidup,” katanya menurut Harian Metro, di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Peguam Rizwandean M Borhan menyoal sama ada catatan diari itu hanya mencerminkan tindak balas emosi jangka pendek dan sama ada konflik atau isu yang didakwa dihadapi Zara dan ibunya, Noraidah Lamat, mungkin bersifat sementara atau mengikut situasi.
Chua berkata, tidak pasti sama ada pertikaian itu termasuk satu insiden di mana Zara didakwa dimarahi Noraidah kerana menggunakan telefon bimbit, benar-benar berlaku, memandangkan tiada saksi bagi insiden berkenaan.
“Bagaimanapun, jika ini adalah penulisan peribadi, berkemungkinan besar ia mewakili dirinya yang sebenar. Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa dia perlu menulis sesuatu yang tidak benar. Saya bersetuju bahawa kita tidak tahu konteks di sebaliknya.
“Namun, apa yang lebih penting adalah bagaimana si mati sebenarnya mentafsir dan merasainya, yang akhirnya mengakibatkan kesakitan tersebut.
“Melihat kepada tindak balas kanak-kanak itu di dalam diari-diari berkenaan, di mana terdapat luahan kemarahan yang amat sangat serta keinginan mati terhadap dirinya sendiri dan orang lain, berdasarkan siri catatan tersebut, adalah tidak mustahil bahawa ia (kesan psikologi) bersifat jangka panjang,” katanya.
Zara, 13, meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth, selepas pelajar itu dimasukkan ke wad sehari sebelum itu susulan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama sekolahnya di Papar, pada 4 pagi.
Jabatan Peguam Negara mengarahkan mayatnya digali semula untuk bedah siasat pada 8 Ogos, sebelum mengumumkan inkues rasmi mengenai kematiannya pada 13 Ogos.