
Katanya, pengesahan itu membuktikan kenyataan Azam sebelum ini yang mendakwa agensi itu sedia mengesyorkan pertuduhan adalah ‘pramatang dan tidak cermat’.
“Bagaimana Azam Baki boleh mendakwa bahawa SPRM akan mengesyorkan pertuduhan sedangkan siasatan masih lagi berjalan?
“Kenyataan Abd Halim hari ini membuktikan bahawa siasatan masih berjalan dan lebih banyak maklumat diperlukan, termasuk daripada individu yang berada di luar negara,” katanya dalam catatan di Facebook.
Tambahnya, kontroversi hasil kenyataan Azam berkenaan memburukkan lagi ‘defisit kepercayaan’ yang sedang dihadapi oleh agensi pencegah rasuah berkenaan dalam kalangan masyarakat.
“Walaupun usahanya membanteras rasuah telah pun membuahkan hasil apabila Malaysia memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
“Namun, sebagai sebuah badan pencegah rasuah, reputasi SPRM sepatutnya bersih daripada sebarang cela. Kenyataan pramatang Azam adalah contoh terbaik kemelut yang sedang membelenggu suruhanjaya tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Syahredzan menyeru SPRM di bawah kepimpinan Abd Halim untuk mengambil iktibar dan menghentikan sebarang tindakan yang boleh menghakis keyakinan orang awam.
Semalam, Bernama melaporkan SPRM sedang mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama bagi memperoleh keterangan beberapa individu di Taiwan dan United Kingdom (UK) untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut Abd Halim, pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan bantuan berkenaan susulan siasatan yang turut melibatkan bidang kuasa dua negara terbabit.
6 Mei lalu, Azam selaku ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu berkata siasatan kes itu hampir selesai serta mencadangkan dua individu didakwa.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Feb lalu susulan aduan daripada beberapa NGO yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.