Mahkamah tangguh prosiding gantung cabaran undang-undang peguam Pamela Ling

Mahkamah tangguh prosiding gantung cabaran undang-undang peguam Pamela Ling

Peguam mencadangkan pendengaran ditangguhkan untuk melihat jika Bukit Aman mempunyai sebarang perkembangan berhubung Pamela Ling yang hilang pada April 2025.

pamela ling
Pamela Ling dilaporkan hilang pada 9 April 2025 ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk membantu siasatan pengubahan wang haram. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan pendengaran bagi permohonan untuk menggantung cabaran undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang difailkan pasukan peguam Pamela Ling.

Peguam Surendra Ananth memberitahu wartawan, beliau mencadangkan mahkamah menangguhkan pendengaran hari ini untuk melihat sama ada Bukit Aman mempunyai sebarang maklumat terkini berhubung kehilangan anak guamnya pada April 2025.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 7 Dis untuk pendengaran.

Peguam Kanan Persekutuan, Faisal Noor hadir mewakili SPRM dan kerajaan.

Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April 2025 ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam satu siasatan.

SPRM melancarkan siasatan terhadap Ling dan suaminya yang juga ahli perniagaan Sarawak, Thomas Hah atas dakwaan rasuah serta pengubahan wang haram pada Mei 2024.

Pada Mei 2025, mahkamah membenarkan Ling meneruskan prosiding semakan kehakiman terhadap waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret kepada SPRM, selepas beliau didakwa gagal hadir untuk memberi keterangan kepada agensi antirasuah itu.

Ogos tahun lalu, Bukit Aman dilaporkan berkata, ia tiada petunjuk di mana Ling berada dan memerlukan lebih banyak masa untuk siasatan lanjut, selepas mengambil keterangan daripada 48 individu berhubung kehilangannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.