Suri rumah disyaki dalang rompak ibu mentua ditahan

Suri rumah disyaki dalang rompak ibu mentua ditahan

Polis berkata wanita itu pada mulanya mengaku menjadi mangsa namun siasatan polis mendapat dia merancang jenayah itu.

handcuff
Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin berkata wanita itu merancang jenayah berkenaan untuk merompak barang kemas milik ibu mentuanya yang bernilai RM12,000. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang suri rumah yang berpura-pura menjadi mangsa samun sekumpulan penjenayah yang memecah masuk sebuah rumah di Felda Chini Timur di Pahang pada Mac lalu ditangkap kerana disyaki dalang sebenar jenayah itu.

Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin berkata wanita berusia 27 tahun itu membuat laporan pada 20 Mac lalu mendakwa disamun oleh empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau ketika berada di rumah mentuanya di Felda Chini Timur 1.

Katanya, dalam kejadian tersebut suspek melarikan barangan kemas milik ibu mentuanya bernilai RM12,000.

“Siasatan awal mendapati wanita itu mendakwa dirinya disamun oleh empat lelaki bertopeng bersenjatakan pisau.

“Namun, siasatan lanjut mendapati dia sebenarnya merancang kejadian samun itu bersama rakannya untuk merompak barang kemas milik ibu mentuanya,” katanya dalam satu kenyataan menurut Sinar Harian.

Zaidi berkata hasil jualan barang kemas tersebut digunakan digunakan wanita itu untuk membayar upah suspek lain dan melunaskan hutang along.

Katanya, wanita itu dan lima rakan lelakinya yang berusia 27 hingga 36 tahun ditahan dalam serbuan berasingan pada 15 Mei lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Khas IPK Pahang dan IPD Pekan.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka ada rekod jenayah lampau, termasuk samun, dadah dan pecah rumah.

“Polis juga merampas beberapa barangan termasuk tiga telefon bimbit, seutas rantai leher dan gelang tangan, beberapa pakaian, sebilah pisau, kad bank serta dokumen pajak gadai,” katanya.

Zaidi berkata, semua suspek direman sehingga 23 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.