Suri rumah didakwa tipu tempahan barang kemas RM173,500

Suri rumah didakwa tipu tempahan barang kemas RM173,500

Siti Hajartul Haini Abd Hamid mengaku tak salah di Mahkamah Sesyen Alor Setar perdaya seorang wanita, dua tahun lalu.

Siti Hajartul Haini Abd Hamid didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan penipuan tempahan barang kemas tidak wujud, dua tahun lalu. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap lapan pertuduhan penipuan tempahan barang emas tidak wujud membabitkan kerugian RM173,500 dua tahun lepas.

Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 55 tahun dengan memperdaya mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank tertuduh di Kampung Mani Mukim Belimbing Kanan di Padang Terap, dari 2 Jun 2024 hingga 16 Ogos 2024.

Mangsa diperdaya memasukkan wang berjumlah RM173,500 ke dalam akaun milik tertuduh menerusi beberapa transaksi dan mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ku Nur Farahi Eliana Ku Abd Razak.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah yang diberitahu Siti Hajartul Haini juga pernah didakwa di Kuala Lumpur dan Putrajaya, menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.