Tok Mat individu penting reda kemelut Negeri Sembilan, kata Zahid

Tok Mat individu penting reda kemelut Negeri Sembilan, kata Zahid

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata Mohamad Hasan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi meredakan krisis di Negeri Sembilan.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata tidak adil mendakwa Mohamad Hasan dalang tercetusnya kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, individu yang memainkan peranan penting dalam meredakan kemelut pentadbiran Negeri Sembilan ketika ini.

Presiden Umno, Zahid Hamidi, berkata Mohamad yang lebih dikenali Tok Mat sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian melalui rundingan bersama kepimpinan parti bagi meredakan situasi itu.

Justeru, beliau berkata, tuduhan mengaitkan Ahli Parlimen Rembau itu sebagai dalang krisis di Negeri Sembilan tidak adil.

“Tok Mat yang cuba cari jalan menyelesaikannya. Tidak adil jika ada tuduhan sedemikian terhadap beliau. Beliau sering berbincang dan mengadakan perundingan dengan saya untuk mencari penyelesaian kepada perkara itu.

“Saya juga memaklumkan kepada beliau bahawa ‘benang telah kusut’ dan kita mengetahui punca kekusutan itu. Jadi, kita harus menarik benang itu untuk menjadi lurus semula dengan perlahan-lahan dan dengan kaedah halus,” katanya dalam temu bual sempena Ulang Tahun ke-80 Umno, di sini.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional menjawab dakwaan beberapa pihak mengatakan Mohamad dalang tercetusnya kemelut politik di Negeri Sembilan.

Mengenai pendirian Umno dalam isu pentadbiran Negeri Sembilan, Zahid berkata, keputusan Umno negeri bersama 14 Adun adalah terus kekal bersama kerajaan perpaduan.

“Tidak timbul soal mahu menarik diri untuk menjadi pembangkang. Itu tidak pernah menjadi isu. Mungkin terdapat interpretasi atau persepsi mereka tidak bersetuju dari segi pelantikan menteri besar, tetapi soal itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas.”

Timbalan perdana menteri itu berkata, penentuan jawatan menteri besar bukan diputuskan Umno secara bersendirian, sebaliknya bergantung kepada konsensus parti gabungan dalam kerajaan perpaduan, khususnya Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, 14 Adun BN menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Tetapi, Zahid pada Khamis lalu memaklumkan semua Adun terbabit bersetuju terus menyokong kerajaan perpaduan negeri demi menjamin kestabilan.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan Aminuddin akan menjalankan tugas menteri besar seperti biasa, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.