
Menurutnya, mogok itu memasuki hari ketiga semalam, dengan 176 pekerja dikatakan mengambil bahagian dengan berada di rumah, bukannya ke tempat kerja.
“Kilang itu tidak ditutup secara rasmi, tetapi tiada pengeluaran ketika ini.”
Beliau berkata, pekerja di kilang yang membekalkan acuan sarung tangan kepada pembuat sarung tangan tempatan serta global, mula mogok dari 6 hingga 18 Mac lalu akibat tunggakan gaji dan kerja lebih masa tidak dibayar selama berbulan-bulan.
Katanya, syarikat itu membayar tunggakan itu selepas campur tangan pasukannya dan memulangkan pasport kira-kira 80 pekerja.
Kumpulan pekerja asing itu kembali bekerja 19 Mac lalu, tetapi ketegangan kembali memuncak apabila mereka menuntut RM22,500 setiap seorang sebagai bayaran balik dan kos berkaitan yang ditanggung sebelum tiba di Malaysia.
Hall berkata, syarikat itu setuju membayar balik kos berkenaan, tetapi hanya dalam tempoh 12 bulan, yang mencetuskan mogok baharu Jumaat lalu. Pekerja terbabit menuntut gaji dibayar tepat pada masa, semua pasport diperbaharui dan visa dilanjut tanpa berlengah lagi.
Beliau mendakwa pengarah urusan syarikat itu mengugut untuk menghantar pulang “bukan hanya seorang” tetapi 60 pekerja, jika mereka berhenti kerja. Mereka semua akan dihantar balik kerana tiada kerja lagi.
Katanya, seorang pegawai Bangladesh melawat syarikat itu Khamis lalu dan menemui pekerja terbabit serta Menteri Sumber Manusia, Steven Sim di Putrajaya pada hari sama bersama seorang lagi pegawai kanan Bangladesh.
FMT sudah meminta ulasan Jabatan Tenaga Kerja dan syarikat terbabit.