
Sumber yang enggan dinamakan itu berkata, kes itu disebut di mahkamah pada 16 Julai, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pegawai JTK gagal menyerahkan saman kepada syarikat itu mahupun pengarahnya.
“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan suatu tarikh baharu pada September bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk menyerahkan saman tersebut,” kata sumber.
Firma guaman yang mewakili pekerja terjejas, Louis Liaw Chambers memaklumkan kepada FMT, tuduhan itu dibuat berikutan dakwaan syarikat itu gagal mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Buruh.
Pada Disember tahun lepas, Kawaguchi Manufacturing bersetuju membayar tunggakan gaji para pekerja dalam sembilan kali ansuran, bermula 15 Jan, dengan baki bayaran dijadualkan setiap bulan dari April 2025 hingga November 2025.
Persetujuan itu dicapai selepas bekas pekerja mengadakan protes aman di kilang syarikat itu di Pelabuhan Klang. Persetujuan tersebut direkodkan dalam perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Buruh.
Syarikat itu telah membuat bayaran pertama, tetapi didakwa gagal menjelaskan bayaran yang dijadualkan pada April, Mei, Jun dan Julai.
Jumaat lepas, media melaporkan bahawa peguam mewakili kumpulan pekerja telah mengeluarkan surat tuntutan kepada syarikat itu, memberinya tempoh sehingga 21 Julai untuk menyelesaikan semua bayaran tertunggak atau berdepan tindakan undang-undang lanjut.
Difahamkan, Kawaguchi Manufacturing tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap surat itu atau menjelaskan mana-mana bayaran tertunggak.
Dalam pada itu, aktivis hak pekerja migran Andy Hall menyifatkan tindakan undang-undang JTK terhadap Kawaguchi Manufacturing sebagai ‘wajar dan tepat pada masanya’.
“Akauntabiliti adalah penting dan amat peribadi bagi pekerja yang dieksploitasi dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Hall menyuarakan kebimbangan kerana mangsa ‘perhambaan moden’ masih perlu membiayai sendiri khidmat guaman mereka.