
Beliau berkata, dakwaan pemandu bas yang pemotongan gaji punca tercetusnya mogok itu tidak boleh diterima.
“Sekiranya dakwaan ini benar, maka ia sama seperti pemotongan gaji mereka secara haram,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laporan Bank Dunia mengenai amalan pekerjaan inklusif.
Sim berkata, kerajaan sudah menetapkan kadar potongan berkanun, dan majikan perlu berunding dengan pekerja jika mereka berhasrat memotong lebih daripada jumlah ditetapkan.
Kira-kira 100 pemandu bas ulang-alik Singapura melancarkan mogok pada 5 pagi semalam, menyebabkan ribuan pekerja Malaysia terkandas di Tambak Johor.
Seorang pemandu mendakwa, skim gaji baharu diperkenalkan dua bulan lalu mengurangkan pendapatan pemandu kepada bawah RM2,000 sebulan. Dia juga mendakwa pemandu kini dikehendaki membuat lima perjalanan setiap hari dan bukannya empat.
Ia susulan laporan Harian Metro akhir bulan lalu memetik beberapa pemandu bas ekspres dan persiaran mendakwa mereka menerima gaji pokok RM700, yang lain mendakwa mereka tidak dibayar gaji pokok sama sekali.
Gaji minimum di Malaysia kini ialah RM1,700 sebulan.
Sim berkata, ini bukan kali pertama aduan dibuat terhadap syarikat bas terbabit.
Beliau berkata, syarikat itu melanggar Akta Pekerjaan dua minggu lalu, tetapi tidak menjelaskan perkara itu secara terperinci.
“Saya memberi amaran kepada syarikat ini, jangan abaikan Akta Pekerjaan. Kami tidak akan berkompromi,” katanya.