Pemandu bas mogok, pekerja Malaysia berjalan kaki ke Singapura

Pemandu bas mogok, pekerja Malaysia berjalan kaki ke Singapura

Mogok dipercayai berkisar penyelarasan gaji pemandu bas dikatakan melampau.

Pekerja Malaysia bertindak berjalan kaki sekitar 1.5km menyeberang Tambak Johor ke Singapura selepas mogok pemandu bas yang bermula 5 pagi tadi. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Ribuan pekerja Malaysia ke Singapura terjejas susulan 100 pemandu bas ulang alik ke republik itu mogok dipercayai berkait isu gaji.

Mereka terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan beberapa lokasi hentian bas utama untuk ke Singapura, sebelum ada mengambil keputusan berjalan kaki sekitar 1.5km merentas Tambak Johor untuk ke Singapura.

Pekerja restoran di Singapura memerik Berita Harian, Munir Selamat, 34, sebagai berkata dia terkejut mendapati barisan menaiki bas ke republik itu sesak sebaik tiba di BSI, pada 6.30 pagi tadi.

“Saya dan yang lain terkejut dan terpinga-pinga apabila mendapati barisan untuk menaiki bas ke Singapura sangat panjang sebelum diberitahu pemandu bas mogok hari ini.

“Kami tiada pilihan lain selain untuk berjalan kaki masuk ke Singapura kerana tidak mahu terlewat memulakan kerja sehingga menjejaskan kami juga nanti,” katanya memetik laporan itu.

Sementara itu, pemandu bas ke Singapura yang mahu dikenali Atoi, 35, mendakwa sekitar 100 pemandu bas ke Singapura nekad mogok bermula 5 pagi.

Katanya, ia susulan ketidakpuasan hati pemandu bas terhadap penyelarasan gaji baharu dibuat majikan yang dilihat menganiaya kerana berlaku pengurangan ketara gaji.

“Penyelarasan gaji terbaru yang berkuatkuasa dua bulan lalu kami anggap melampau kerana ia menyebabkan pendapatan kami berkurangan ketara di saat kenaikan kos sara hidup.

“Contohnya, sebelum ini pemandu bas Malaysia ke Singapura diberi gaji antara RM2,800 hingga RM2,900 sebulan, namun penyelaras gaji dibuat menyebabkan kami hanya mendapat gaji tidak sampai RM2,000 sebulan.

“Ini tidak termasuk syarat wajib yang tidak adil ditetapkan iaitu penambahan perjalanan wajib daripada empat kepada lima yang menjejaskan tuntutan lebihan perjalanan selain pemotongan gaji yang tidak jelas,” katanya.

Difahamkan, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh sedang mengadakan pertemuan dengan syarikat serta pemandu bas bagi menyelesaikan isu mogok tersebut.

Menurut laporan, beberapa pemandu bas sudah pulang, manakala sebahagian kecil bersetuju meneruskan perjalanan kira-kira 10.30 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.