Asean, pelbagai negara bantu Malaysia bebas sukarelawan GSF

Asean, pelbagai negara bantu Malaysia bebas sukarelawan GSF

Putrajaya menggerakkan pelbagai saluran diplomatik melalui rakan antarabangsa mempunyai kedutaan di Israel bagi memastikan keselamatan dan pembebasan sukarelawan negara.

sumud flotilla
Kementerian Luar Negeri sebelum ini mengesahkan semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Malaysia menerima bantuan beberapa negara, termasuk negara anggota Asean dalam usaha membebaskan aktivis kemanusiaan ditahan Israel selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), kata Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kerajaan kini menggerakkan pelbagai saluran diplomatik melalui rakan antarabangsa yang mempunyai kedutaan di Israel, termasuk Amerika Syarikat, Turki, Jordan dan Mesir bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia masih dalam tahanan.

“Kita memang dah jangkakan keadaan begini akan berlaku, jadi kita telah pun berbincang sesama rakan-rakan khususnya dari Asean.

“(Memandangkan) Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Israel, kita telah minta negara rakan memberikan bantuan konsular kepada rakyat kita yang ditahan,” katanya selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini.

Setakat ini, beliau berkata, Jordan dan Turki memberi jaminan membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia sebaik saja mereka dibebaskan.

Menurutnya, AS melalui timbalan menteri luarnya turut menyatakan komitmen membantu melalui kedutaannya di Tel Aviv dan bersedia memberikan apa jua bantuan diperlukan rakyat Malaysia.

Katanya, semua misi diplomatik Malaysia di Jordan, Turki, Kaherah dan Algeria kini bersiap siaga memberikan bantuan serta sokongan logistik, sebaik saja rakyat Malaysia dibebaskan melalui mana-mana pintu sempadan.

“Kita tidak tahu (laluan mana tahanan akan dilepaskan) sebab ini terpulang kepada pihak rejim Zionis Israel untuk menghantar mereka balik.”

Mohamad turut memaklumkan komunikasi barisan peguam mewakili GSF dan aktivis tidak dapat dilakukan waktu ini kerana Israel sedang menyambut perayaan Yom Kippur, yang juga cuti umum, sekali gus menyebabkan pejabat kerajaan dan diplomatik ditutup.

Beliau berkata, situasi itu menangguhkan sementara proses diplomasi dan rundingan untuk membawa pulang sukarelawan GSF.

“Jangan risau, kerajaan sentiasa memantau keadaan mereka ‘by the second’…Kita harap Isnin nanti, bila pejabat dibuka semula, kita akan dapat berhubung semula. Tapi hubungan kita melalui perantaraan negara sahabat sentiasa dalam keadaan amat baik.”

Misi GSF yang disertai lebih 500 sukarelawan dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin terjejas serangan berterusan rejim Zionis.

Kementerian Luar Negeri sebelum ini mengesahkan semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF ditahan dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.