
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata ketiga-tiga mangsa sedang menangkap ikan di kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika di utara pulau terbabit sebelum kejadian berlaku lebih kurang 11 malam.
APMM terima laporan kecemasan daripada seorang nelayan yang menyaksikan kejadian itu dan mendakwa vesel terbabit melarikan diri sejurus perlanggaran berlaku.
“Dua mangsa diselamatkan oleh bot fiber yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian manakala seorang lagi nelayan masih belum ditemukan… mangsa dipercayai hilang di laut dan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru-merah serta seluar berwarna biru.
“Pusat operasi maritim Selangor segera mengatur gerak bot ronda ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal terhadap mangsa yang hilang, iaitu Zamri Mohd Harun berusia 56 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa yang terselamat, masing-masing lelaki berusia 56 dan 52 tahun dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 12.35 tengah malam tadi untuk rawatan susulan.
Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan dan pencarian kini diteruskan dengan kerjasama bomba serta polis marin.
“Usaha pencarian hari ini melibatkan kekuatan sebanyak 20 anggota dan tiga aset laut yang merangkumi kawasan pencarian seluas 13 batu nautika persegi,” katanya.